Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah (tengah) menyaksikan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah (dua kanan) pada Majlis Menandatangani Standard Operating Procedure di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 OGOS 2017.

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menggempur individu atau syarikat yang tidak membayar cukai hingga menyebabkan ketirisan terhadap hasil negara.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sei Dr Mohd Irwan Serigar berkata, langkah itu bermula hari ini apabila kedua-dua pihak menjalankan program audit bagi tujuan itu.

Menurutnya, kerjasama secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu dapat menjimatkan kos dan masa dalam melaksanakan pengauditan.

“Jawatankuasa Induk Audit Bersama dan Jawatankuasa Pelaksana Audit Bersama ditubuhkan bagi bekerjasama dalam pemilihan kes, skop audit, penyediaan prosedur tatacara audit bersama dan penyelarasan tindakan audit.

“Menerusi audit bersama ini, maklumat akan dikongsi berkaitan syarikat yang tidak membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan cukai korporat, atau membuat pengisytiharan kurang daripada apa yang diperoleh.

“Kita boleh sasarkan syarikat yang berkenaan dan lawatan bagi audit dijalankan dibuat secara bersama yang mana syarikat atau individu akan dimaklumkan terlebih dulu bagi temu janji lawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani prosedur operasi standard (SOP) Program Audit Bersama antara JKDM dan LHDN di sini hari ini.

JKDM diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk T Subromaniam manakala, LHDN diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah.

Mengulas lanjut Irwan berkata, pihak audit bersama itu juga akan memberi nasihat kepada individu atau syarikat supaya mematuhi urusan pembayaran percukaian.

“Kita akui banyak lagi syarikat belum mematuhi urusan pembayaran cukai, justeru menerusi inisiatif ini kita harap hasil akan bertambah dengan pelaksanaan audit bersama ini.

“Bagaimanapun, jangan kata tindakan ini seolah-olah kerajaan mahu mendapatkan lebih banyak pendapatan, sebenarnya ramai yang patuh bayar cukai, tetapi tidak adil bila ada beberapa syarikat, peniaga atau individu yang cuba menipu dan tidak bayar cukai,” ujarnya.

Tambah beliau, buat permulaan audit bersama itu disasarkan di sekitar Lembah Klang sebelum diperluas ke seluruh negara dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette