Home Asnb Menara PNB 118 baru 10% siap

Menara PNB 118 baru 10% siap

Lakaran artis bangunan Menara PNB 118

KUALA LUMPUR – Pembinaan Merdeka PNB 118 yang sedang dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) baharu 10 peratus siap.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pada masa ini kerja-kerja pembinaan struktur utama bawah tanah sedang dijalankan.

“Pembinaan Merdeka PNB itu mengikut progres yang ditetapkan. Buat masa ini strukturnya masih belum nampak kerana masih di peringkat bahagian bawah tanah.

“Bangunan itu akan mula berada di atas tanah pada tahun depan,” katanya dalam pertemuan baru-baru ini.

Setakat ini, tambah beliau, kos pembinaan menara itu masih dalam bajet yang ditetapkan iaitu RM5 bilion.

Abdul Wahid berkata, bangunan itu dijangka siap pada hujung tahun 2020 dan pindah masuk dibenarkan pada tahun 2021.

Projek mega yang bakal menjadi mercu tanda baharu Kuala Lumpur itu membabitkan pembinaan menara 118 tingkat dan pusat membeli-belah.

Menara itu bakal mempunyai ketinggian 630 meter dan merupakan bangunan kedua tertinggi di Asia serta tersenarai sebagai ‘Mega Tall Building’ kelima tertingi di dunia.

Ia terdiri daripada 60 tingkat lantai pejabat yang akan diduduki oleh PNB dan baki 22 tingkat lagi akan dibuka untuk sewaan syarikat tempatan dan antarabangsa.

Sebanyak 18 tingkat lagi merupakan hotel mewah bertaraf enam bintang yang akan menawarkan 236 bilik.

Selain itu, baki 18 tingkat lagi akan menempatkan lobi dan dek pemerhatian. – MalaysiaGazette