Mohammad Hussin
SEREMBAN – Kira-kira 200 murid sekolah rendah sekitar Seremban hari ini menyertai Kem Perancangan Kewangan Kanak-kanak anjuran Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) bagi melahirkan generasi muda celik pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB Mohammad Hussin berkata kem yang menumpukan kepada kanak-kanak ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada mereka sekali gus dapat mempengaruhi sikap, pandangan dan pemahaman generasi muda mengenai wang serta nilainya.

“Matlamat kami ialah membantu anak-anak menyertai kem ini untuk memahami kelebihan mengurus wang dengan bijak dan seterusnya menjadikannya sebagai amalan menerusi sikap berjimat cermat dan menabung,” katanya di sini, hari ini.

Mohammad juga berkata melalui aktiviti ‘Saya Bijak Berbelanja’ dalam program ini juga, generasi muda ini telah diberikan elaun sebanyak RM50 dan diberikan masa selama lima minit bagi membelanjakan sejumlah wang tersebut di booth kedai buku serta kantin yang disediakan.

“Aktiviti Kenali Risiko dan Pulangan, peserta dididik bahawa setiap perbuatan dan keputusan boleh mendatangkan kesan negatif atau positif terhadap jumlah simpanan mereka, manakala melalui aktiviti ‘Instalabur’, peserta didedahkan dengan pelaburan kewangan,” katanya.

Kem Perancangan Kewangan Kanak-kanak dianjurkan ASNB sebanyak lima kali pada tahun ini masing-masing di Selangor, Sabah, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur dengan sasaran kira-kira 1,000 peserta.

Pada program itu, turut diadakan sesi ceria bersama Datuk Aznil Nawawi yang menceriakan peserta dalam sesi Ceria Bersama Pak Nil bagi berkongsi pengalaman dan nasihat mengenai pengurusan wang bijak kepada kanak-kanak.

Sementara itu, kira-kira 100 orang ibu bapa peserta juga didedahkan mengenai Seminar Pelaburan 360 hari antaranya pendedahan mengenai perancangan kewangan, kelebihan melabur, dan kaedah membina tabung pendidikan yang betul.

Selain Kem Perancangan Kewangan kanak-kanak, ASNB turut menyampaikan ilmu pelaburan dan perancangan kewangan kepada pelajar sekolah menengah menerusi Kelab pelabur Bijak Permodalan Nasional Berhad dan penganjuran Seminar Pelaburan 360 hari secara percuma.

— BERNAMA