Home Ekonomi Ekonomi Sarawak berkembang pesat – Abang Johari

Ekonomi Sarawak berkembang pesat – Abang Johari

Abang Johari Tun Abang Openg

KUCHING – Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan ekonomi Sarawak berkembang pesat sejak beberapa tahun lalu dan mengekal pertumbuhan positif 3.2 peratus pada 2016 walaupun menghadapi ketidaktentuan global dan paras harga minyak mentah yang rendah.

Beliau berkata, import Sarawak dijangka turut meningkat tahun ini antara 3.5 peratus hingga 4.0 peratus selaras dengan perkembangan ekonomi di sesetengah bahagian dunia.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK per kapita Sarawak ialah sebanyak RM46, 514 dan nilai dagangan luarnya RM116.3 bilion pada 2016 dengan cabaran masa depan ialah bagaimana menjana bagi mencapai negeri berpendapatan tinggi dan ekonomi maju menjelang 2030, katanya.

“Kita mahu memastikan ekonomi kita berkembang untuk memberi kesan langsung dan menambah pendapatan rakyat,” katanya pada majlis perbarisan dan perarakan sempena sambutan hari jadi ke-81 Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di Petra Jaya hari ini.

Beliau mahu kerajaan negeri meneruskan polisi yang digariskan Abdul Taib semasa menjadi Ketua Menteri terutama dalam bidang pendidikan.

Abang Johari berkata, kerajaan amat sedar segala yang dirancang dalam bidang pendidikan tidak akan menjadi kenyataan jika ia tidak membangunkan aspek kebolehan manusia.

Beliau berkata, oleh itu usaha sedang dibuat untuk memajukan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri dengan menubuhkan pusat TVET sebagai tambahan kepada yang disediakan kerajaan persekutuan.

Yayasan Sarawak turut diminta untuk memberi sumbangan kepada pengajian bidang baharu menerusi Yayasan Biasiswa Tun Taib bagi membangukan kepakaran dalam pelbagai bidang menerusi kajian dan pembangunan oleh universiti dan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara,” katanya.

Dalam memberi penghargaan kepada institusi Yang Dipertua Negeri, Abang Johari berkata, institusi tersebut sama seperti institusi Yang di-Pertuan Agong yang hari keputeraan baginda disambut hari ini, yang institusinya adalah bagi menyatupadukan rakyat di negara ini. – MalaysiaGazette