BALING – Sebanyak 31 rumah mengalami kerosakan dengan kebanyakannya pada bahagian bumbung akibat ribut kuat yang melanda 10 buah kampung di daerah Baling semalam.

Kejadian yang bermula kira-kira 5 petang itu melibatkan 155 penduduk antaranya dari Kampung Landak Hilir/ Padang Cina, Kampung Teluk Petata, Kampung Belakang Panggung, Kampung Lela, Kampung Tanah Periuk, Kampung Kuala Pegang dan Kampung Tengah/ Bangol Cicar.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, kejadian angin kencang dan hujan lebat itu turut menyebabkan sebuah surau di Kampung Lela dan Balai Polis Kupang rosak.

“Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ribut itu, ” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata beberapa pokok yang tumbang akibat angin kuat kini dalam proses dipotong dan dialihkan oleh Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan pasukan Bomba dan Penyelamat Baling.

Bagaimanapun, katanya, tiada pusat pemindahan rasmi dibuka dan agihan bantuan awal sudah disalurkan kepada mangsa menerusi Pejabat Daerah, JKM, Pejabat Ahli Parlimen, Pejabat ADUN Kupang, APM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sementara itu di Alor Setar, seorang warga emas terkejut apabila lebih 50 peratus bumbung zink rumahnya diterbangkan akibat ribut yang melanda sekitar daerah, petang semalam.

Yam Matt, 73, dari Kampung Alor Gandak, berkata kejadian kira-kira 3 petang itu berlaku sekelip mata ketika beliau sedang berada di dapur bersama anak perempuannya.

“Masa tu Tok ada di dapur dan sebelum itu ada terdengar bunyi bumbung macam diselak sikit sebelum tiba-tiba angin kencang datang dan angkat hampir keseluruhan bumbung rumah.

“Selepas itu,hujan lebat dan ini sudah kali ketiga bumbung rumah tok rosak diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Yam berkata, dia mengalami kerugian lebih RM5,000 akibat kerosakan bumbung serta barangan perabot dan elektrik. – MalaysiaGazette