Datuk Zakaria Arshad yang sedang bercuti kelihatan di Menara Felda tetapi menafikan akan menghadiri mesyuarat pengurusan kanan yang sedang berlangsung.

KUALA LUMPUR – Kelibat Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), Datuk Zakaria Arshad di Menara Felda hari ini mengejutkan para wartawan yang kebetulan membuat liputan mengenai hari pertama Pengerusi baharu syarikat tersebut.

Zakaria yang hadir berseorangan tiba di lobi menara Felda kira-kira jam 10 pagi menimbulkan teka-teki.

Apakah keputusan Siasatan Dalaman (DI) terhadap beliau dan tiga lagi pengurusan kanan yang dipaksa bercuti sejak 6 Jun lalu akan diumumkan hari ini?

Atau apakah mungkin beliau bertemu dengan Datuk Azhar Abd. Hamid yang sebelum ini berjanji menyelesaikan isu di antara Zakaria dan tiga lagi pegawai kanan FGV sebagai perkara pertama yang perlu diselesaikan selepas beliau memegang jawatan Pengerusi.

Masih seperti dulu, beliau yang mesra media kelihatan ceria apabila disapa.

Zakaria bagaimanapun menafikan kehadiran beliau yang sedang bercuti sejak 6 Jun lalu untuk menyertai mesyuarat pengurusan kanan yang sedang berlangsung.

“Saya tidak menyertai mesyuarat tersebut kerana bukan lagi ahli pengurusan kanan lagi.

“Saya ada hal sikit di atas,” katanya kepada pemberita di sini. -MalaysiaGazette