Bekas pengasas PPBM yang dipecat keanggotan

KUALA LUMPUR – Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin hari ini melahirkan kekecewaannya terhadap bekas partinya yang ‘memulau’ beliau sempena ulang tahun pertama parti tu, meskipun dirinya merupakan orang yang bertanggungjawab dalam penubuhan parti serpihan UMNO itu.

Kekecewaan itu diluahkan panjang lebar dalam tulisan di Facebook milik Anina setelah sekian lama ‘menghilangkan diri’ dari politik tanah air setelah pemecatannya lewat tahun lepas.

Justeru, sebagai seorang pengasas parti yang terus dilupakan pada majlis ulang tahun bersejarah itu, Anina yakin bahawa parti tersebut hanya memberi tumpuan kepada kumpulan elit dalam parti, berbanding kumpulan lain yang turut memberi sumbangan dalam PPBM.

“Hari ini majlis ulangtahun pertama penubuhan PPBM. Baru umur setahun, satu-satunya ibu yang mengasaskan parti ini langsung tidak menerima sebarang jemputan ke majlis yang diadakan di Muar, Johor.

“Jika saya dilupakan, beritahu saya bagaimana mungkin saya percaya parti ini akan mengingati begitu ramai insan yang menggerakkan perjuangan ini sejak lebih dua tahun yang lalu.

Antara yang turut disuarakan Anina sempena ulang tahun pertama PPBM adalah tahap profesionalisme parti itu yang boleh dipertikaikan, terutama dalam insiden pemecatan beliau daripada jawatan Ketua Serikandi dan perlucutan keahlian.

Seterusnya, menunjukkan sikap profesional, cita-cita PPBM untuk mentadbir negara hanya tinggal sebagai cita-cita.

“Begitu ramai wanita hebat di seluruh Malaysia, tetapi saya satu-satunya wanita yang dipujuk rayu untuk menjadi Ketua Srikandi PPBM. Begitu cepat dalam tempoh tiga bulan juga saya satu-satunya pemimpin parti yang tidak diperakui angkat sumpah jawatan.

“Hanya watikah angkat sumpah saya seorang dari lebih 30 orang itu yang diklasifikasikan sebagai tidak sah oleh pucuk pimpinan parti. Dalam erti kata lain, saya dipecat.

“Jika parti ini gagal bersikap professional dalam pentadbirannya, beritahu saya bagaimana mungkin saya yakin ianya mampu professional dalam mentadbir sebuah kerajaan.

Sementara itu, ekoran fitnah yang dilempar terhadapnya sebelum ini, Anina juga percaya bekas partinya itu, tidak mampu membela nasib rakyat negara ini sekiranya berjaya menjadi kerajaan kelak.

“Saya difitnah oleh ahli-ahli parti kononnya menerima RM7 juta dari UMNO dan PPBM gagal membela saya. Jika saya yang berkorban begitu banyak untuk parti juga gagal dibela oleh parti, beritahu saya bagaimana mungkin saya yakin mereka mampu membela 32 juta rakyat Malaysia.

“Sudah sembilan bulan berlalu namun saya masih setia bersama parti.”

Walau bagaimanapun, meskipun terus disisih tanpa sebarang pembelaan, Anina menyatakan kesetiaannya terhadap parti itu. – MalaysiaGazette