KUALA LUMPUR – Kumpulan UEM dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengesahkan telah menerima surat hasrat (non-binding letter) daripada Evercore Asia Ltd. bagi pihak Maju Holdings yang menunjukkan minat untuk mengambil alih keseluruhan ekuiti dalam pengendali lebuhraya, PLUS Malaysia Bhd. (PLUS).

Dalam kenyataan bersamanya, kedua-dua entiti itu bagaimanapun menegaskan, buat masa ini mereka tidak berminat untuk menjual pegangan masing-masing dalam PLUS kepada Maju Holdings.

Kumpulan UEM memiliki sebanyak 51 peratus pegangan dalam PLUS manakala KWSP menguasai sebanyak 49 peratus.

“Kami tidak boleh mengulas lanjut kerana kami masih menilai surat tersebut dan sehingga kami memuktamadkan proses penilaian, kami tetap kekal dengan pendirian sedia ada iaitu tidak berminat untuk menjual pegangan masing-masing,” kata Kumpulan UEM dan KWSP hari ini.

Dalam pada itu, Kumpulan UEM berkata, PLUS adalah perniagaan terasnya sejak sekian lama dan akan memastikan ia menyediakan perkhidmatan yang baik dan bermanfaat kepada pengguna.

“PLUS juga salah sebuah pelaburan teras KWSP dengan 49 peratus pegangan yang sesuai dengan profil risiko dana persaraan yang memberi manfaat kepada 14 juta ahli,” ujar kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette