BN boleh kekalkan 125 kerusi luar bandar dengan menang mudah
Prof Dr. Sivamurugan Pandian
SERDANG – Belum pernah wujud kes di mana ibu bapa menghukum anak-anak mereka kerana tidak menghafal Rukun Negara dan memahami Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Jawatankuasa Kluster Perpaduan Nasional Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, kebanyakan ibu bapa lebih mengutamakan anak-anak mereka menghafal sifir matermatik.
“Kita dipukul kerana tidak menghafal sifir di belakang buku, tapi tidak pernah lagi dihukum kerana tidak menghafal Rukun Negara atau tidak memahami Perlembagaan.
“Yang penting ialah bagaimana peranan keluarga itu mendasari usaha untuk melahirkan sifat atau penyatuan atas negara ini,” katanya dalam Wacana Ilmuan Negaraku Malaysia: Di Mana dan Ke Mana Kita? di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Ainis Ideris, dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris (empat kiri) bersama Presiden Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr. Raduan Che Rose (tengah) bergambar kenangan dengan para panel yang menjayakan program Wacana Ilmuwan Sambutan Hari Malaysia Majlis Profesor Negara 2017 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2017.
Beliau berkata, semangat integrasi bangsa dan kenegaraan itu harus bermula dari rumah dan tidak diserah sepenuhnya kepada pihak sekolah dan rakan sebaya.
“Ia banyak bergantung kepada tanggungjawab yang harus dimainkan oleh pelbagai pihak, bermula daripada keluarga. Apa telah kita bina melalui Perlembagaan dan Rukun Negara merupakan sesuatu harus kita terus pertahankan.
“Ini kerana ini merupakan perkongsian yang telah membolehkan pemimpin 60 tahun lepas adanya kompromi, pengorbanan bahawa tiada pihak boleh mendapat semua dan tidak ada pihak yang harus hilang kesemuanya,” katanya.
Katanya, semangat kenegaraan hanya boleh wujud jika semua pihak boleh mencari titik keseimbangan di antara satu sama lain.
“Proses sosialisasi bermula dari keluarga. Itu tidak bermakna perlu dibisikkan dengan bait-bait lagu negara dan perlembagaan ketika kita bersarapan pagi.
“Guru-guru harus mainkan peranan, rakan  sebaya, media, agensi kerajaan, pemimpin dan akhirnya individu-individu itu sendiri harus ambil inisiatif untuk memahami bahawa kita hidup dalam sebuah keluarga besar yang kita namakan sebagai negara Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.