Jenazah Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dibawa ke Balai Penghadapan Istana Anak Bukit, Kedah untuk memberi peluang kepada orang ramai yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir sebelum dimakamkan di Makam DiRaja Langgar, Kedah. foto AHMAD AKI, 12 SEPTEMBER 2017

ALOR SETAR – Pemuda UMNO Kedah hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan pengguna laman sosial yang didakwa menghina kemangkatan Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Laporan itu dibuat oleh Pegawai Khas Pemuda UMNO Negeri Shamsul Bahrin Shaarom di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di Alor Setar pukul 12.20 tengah hari.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang turut hadir di perkarangan IPD berkata, perbuatan individu itu adalah suatu tindakan biadap.

Shaiful Hazizy meminta pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan segera.

“Saya perasan trend sekarang kalau dah buat silap mesti minta maaf secara terbuka bagi mengelak daripada diambil tindakan. Tapi kali ini tiada lagi pemohonan maaf dan saya minta polis ambil tindakan tegas terhadapnya,” katanya.

Sementara itu di Baling, beberapa pertubuhan bukan kerajaan ( NGO), Persatuan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan parti politik membuat laporan sama di Balai Polis Baling.

Laporan yang dibuat pada pukul 2 petang itu meminta polis mengambil tindakan segera terhadap individu berkenaan.

Pengerusi tetap JKKK Baling, Johari Abdul Latif berkata rata-rata penduduk di sini amat terluka dan marah dengan tindakan individu itu.

Pengerusi Tetap Puteri UMNO Bahagian Baling, Surina Che Mid yang turut hadir berkata, tindakan menghina Almarhum baginda mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab individu tersebut. – MalaysiaGazette