Kongsi
Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan seorang pemuda berusia 21 tahun yang disyaki telah menghina kemangkatan Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Polis, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya bertindak ekoran laporan polis yang diterima mengenai kewujudan posting berbentuk penghinaan terhadap kemangkatan DYMM Sultan Kedah Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Katanya, satu siasatan telah dijalankan secara mendalam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.

“Berpandukan kepada hasil siasatan, pada 13 September lalu sekitar jam 12.37 pagi, pasukan JSJK Bukit Aman da Balai Polis Genting telah menyerbu sebuah rumah di Genting Highlands, Pahang.

“Hasil serbuan polis berjaya mengesan dan menangkap seorang lelaki warga Malaysia berbangsa Cina berusia 21 tahun yang disyaki telah memuatnaik posting berunsur penghinaan terhadap Almarhum DYMM Sultan Kedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil serbuan dan pemeriksaan lanjut juga berjaya merampas seunit telefon bimbit jenama Apple Model iPhone 7 Plus dan seunit laptop MSI Gaming G Series.

Katanya, suspek direman dua hari bagi membantu siasatan lanjut polis dalam kes tersebut.

Dalam satu lagi kes yang berbeza, Kata Acryl polis juga sedang mengesan seorang lelaki Melayu yang didapati memuatnaik posting berunsur penghinaan terhadap isu yang sama.

“Kedua-dua kes sedang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegasnya lagi.

Beliau menasihatkan rakyat supaya lebih berpegang kepada prinsip Rukun Negara dan tidak menyalahgunakan lama media sosial untuk perbuatan tidak bertanggungjawab sehingga melanggar undang-undang.

“Nasihat daripada saya, selaku rakyat Malaysia, berpeganglah kepada prinsip Rukun Negara kelima iaitu “kesopanan dan kesusilaan” dan jadilah rakyat yang bertanggungjawab dan berfikirlah sebelum membuat sesuatu.

“Jangan sesekali menyalahgunakan laman sosial untuk membuat sebarang komen yang dilihat sebagai biadap, kurang ajar atau penghinaan terhadap sesiapapun lebih-lebih lagi terhadap institusi raja serta pemimpin-pemimpin negara.

“Tindakan tidak bermoral seperti ini dikhuatiri mampu mencetuskan ketegangan di kalangan masyarakat selain mengganggu gugat keamanan serta ketenteraman negara ini.

“Penulisan komen yang tidak sepatutnya di laman sosial juga merupakan satu kesalahan dan memungkinkan satu tindakan undang-undang diambil terhadap si pelaku,” katanya.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan