Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
PETALING JAYA – Datuk Seri Mukhriz Mahathir memilih untuk berdiam diri apabila ditanya mengenai kemungkinan ayahnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Hala tuju Dr. Mahathir yang kini berusia 92 tahun semakin mencuri tumpuan dengan khabar angin bahawa beliau akan bertarung lagi dalam medan pilihan raya.
Dr. Mahathir dikhabarkan akan memilih Kedah sebagai medan peperangan, tetapi tidak semestinya di kerusi Parlimen Kubang Pasu.
Bekas Perdana Menteri itu sebaliknya berkemungkinan memilih untuk bertanding di kawasan bandar di Kedah.
Kata Mukhriz, Pakatan Harapan pada masa ini menumpu perhatian untuk menyelesaikan pembahagian kerusi antara parti dan perundingan belum sampai ke tahap penentuan calon.
Ditanya peratusan kemungkinan Dr. Mahathir bertanding semula, Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah enggan memberi ulasan.
“Beliau pun sudah tua, sudah berumur 92 tahun. Oleh itu, saya tidak boleh menjawab soalan ini,” katanya kepada Sinchew Daily.
Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook pula berpendapat, penyertaan Dr. Mahathir dalam PRU-14 akan menaikkan semangat dan peluang kemenangan Pakatan Harapan.
Katanya, keputusan berkenaan bagaimanapun terserah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang dipimpin Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Naib Presiden PKR, Tian Chua pula berkata, kemunculan semula Dr. Mahathir akan memberi tekanan dan desakan kepada Barisan Nasional (BN).
Walau bagaimanapun, Tian Chua berpendapat, faktor usia akan menghalang Dr. Mahathir bertanding dan beliau besar kemungkinan hanya akan menjadi ahli strategi untuk Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette