Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim (kanan) bersama Timbalannya, Jasmin Noordin (kiri) menunjukkan laporan polis dibuat bagi menggesa tindakan ke atas Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung kenyataan 'penahanan haram' Exco Phee Boon Poh di hadapan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.

PULAU PINANG – Pemuda UMNO Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng ekoran kenyataan `penahanan haram’ yang dibuat terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu.

Ketuanya, Rafizal Abdul Rahim berkata, laporan itu dibuat supaya siasatan serta tindakan tegas dapat diambil terhadap kenyataan yang disifatkan berbaur fitnah tersebut.

Menurut beliau, kenyataan `penahanan haram’ yang dibuat Guan Eng bagi merujuk tindakan ke atas Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang, Phoo Bon Poh itu juga secara jelas mencemar nama baik dan mencalar imej SPRM.

“Laporan polis ini juga dibuat kerana sehingga kini Guan Eng terus mengelak daripada memohon maaf secara terbuka kepada SPRM meskipun sudah diarahkan berbuat demikian.

“Pemuda UMNO Pulau Pinang tidak mahu kenyataan biadab oleh Guan Eng itu terhenti atau hilang begitu sahaja tanpa sebarang tindakan tegas ekoran keceluparannya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengetuai beberapa ahli Pemuda UMNO negeri termasuk Timbalannya, Jasmin Noordin membuat laporan polis itu di ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.

SPRM pada 25 Ogos lalu memberi tempoh 48 jam kepada Guan Eng untuk memohon maaf dan menarik balik tanpa syarat kenyataan yang merujuk penahanan reman Boon Pooh bagi membantu siasatan kilang haram habuk kayu di Penanti di sini sebagai `penahanan haram’.

Bagaimanapun, sehingga ke hari ini, Guan Eng terus membisu sekali gus menyebabkan SPRM memutuskan akan mengambil tindakan terhadap beliau selepas bermesyuarat pada 4 September lalu.

Pada 12 Ogos lalu, Boon Poh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung operasi kilang habuk kayu haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti di sini.

Bagaimanapun, tahanan reman Boon Poh itu serta dua individu pemilik kilang berkenaan dibatalkan Mahkamah Tinggi di sini pada 14 Ogos lalu selepas mendapati bertentangan dengan Seksyen 117 (5) Kanun Prosedur Jenayah. – MalaysiaGazette