Anina Saadudin
Anina Saadudin

KUALA LUMPUR – Selepas difitnah terima wang RM7 juta dari UMNO, bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin didakwa mahu berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula.

Menjawab spekulasi yang tular di laman sosial itu, beliau berkata, sejak keluar dari PPBM beliau tidak sunyi daripada difitnah oleh pihak tertentu termasuk UMNO sendiri.

“Hari itu kecoh saya terima RM7 juta dari UMNO. Hari ni kecoh pula fitnah saya minta nak jumpa Presiden UMNO,” katanya melalui status yang dimuatnaik dalam akaun facebooknya di sini.

Menurut Anina, kalau beliau sudah menerima duit sebanyak itu dari Najib, kenapa pula dia perlu susah payah minta tolong Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk berjumpa dengan Perdana Menteri.

“Saya tidak terkejut kalau selepas ni mereka fitnah saya bakal dilantik sebagai Ketua Polis Negara pula,” katanya dengan nada sindiran.

Isnin lalu, sebuah portal berita melaporkan Anina mahu meninggalkan PPBM, parti yang diasaskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan ingin kembali menyertai UMNO.

Menurut sumber, pemimpin wanita PPBM itu dikatakan menghubungi seorang pemimpin tertinggi UMNO untuk memaklumkan mengenai hasratnya itu.

Beliau juga dilaporkan mahu salah seorang pemimpin tertinggi UMNO berkenaan mengaturkan pertemuan dengan Najib. – MalaysiaGazette

Comments are closed.