Siti Zabedah Kasim

KUALA LUMPUR – Persatuan Profesional Muda Malaysia (IPRISMA) menggesa Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim dan kumpulan yang menyokongnya agar tampil memohon maaf kepada umat Islam.

Presidennya, Muhammad Rashidi Ab. Hamid berkata, ini kerana peguam kontroversi itu telah bertindak biadab dengan menghina Nabi Ibrahim dan agama Islam baru-baru ini.

“Kita menggesa Siti Kasim dan mereka yang terlibat menyokong peguam ini sama ada secara langsung ataupun tidak sehingga dia berani bertindak sebiadab ini tampil memohon maaf kepada seluruh umat Islam.

“Kita mahu beliau berjanji untuk tidak mengulangi siri-siri kenyataan yang mengelirukan umat Islam dan penduduk bukan Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Siti Kasim dalam ucapan selamat hari rayanya mendakwa al-Quran tidak pernah menyatakan mimpi Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya adalah dari Tuhan.

Sebaliknya, ujar beliau, mimpi Nabi Ibrahim itu adalah bisikan syaitan.

Kenyataan yang dianggap menghina Islam itu diselar banyak pihak termasuk IPRISMA yang menyifatkan Siti Kasim tidak memahami Fasal 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan bahawa Islam adalah agama persekutuan.

Katanya, peguam itu sepatutnya lebih cermat dan berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan Islam di negara ini yang majoriti penduduknya memilih cara hidup Islam.

“Kita berharap kerajaan melalui pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil tindakan tegas dan mengenakan hukuman sewajarnya terhadap Siti Kasim serta kelompok di belakangnya.

“Semoga ia menjadi pelajaran kepada semua pihak dalam usaha menjaga kemuliaan Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan pada masa sama meraikan hak kebebasan beragama seperti yang dibenarkan, bahkan telah diamalkan dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia sejak sekian lama,” katanya. – MalaysiaGazette