Pelakon filem India, ,Vishal Krishna, 40 (tengah) bersama Datuk Abdul Malik (dua dari kanan) di Majlis MoU antara Persatuan Hiburan India Malaysia dan Majlis Penerbit Filem Tamil India Selatan di ibu negara semalam.

KUALA LUMPUR – Industri filem India Selatan mengakui Malaysia mempunyai ramai pelakon dan penggiat seni berbakat dan sedia memberi peluang dan berkongsi kepakaran pada masa depan.

Presiden Persatuan Artis India Selatan merangkap Setiausaha Kehormat Majlis Penerbit Filem Tamil India Selatan, Vishal Krishna berkata, ada potensi besar industri filem Tamil Nadu untuk menjalinkan kerjasama erat dengan penggiat hiburan India di Malaysia.

Vishal telah hadir ke Malaysia untuk menyertai Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara pihak dengan Persatuan Hiburan India Malaysia di ibu negara serta tayangan perdana pertama filem Tamil lakonannya bertajuk Thupparivaalandi ibu negara malam tadi.

Vishal menyifatkan MoU berkenaan sebagai satu permulaan terbaik masa depan artis hiburan kedua-dua negara menjadi satu keluarga.

Katanya, ia juga jambatan yang akan menghubungkan hiburan di Malaysia dan India Selatan dikenali sebagai Kollywood untuk bekerjasama dalam semua aspek di dalam industri filem.

“Tidak kira artis itu berasal dari India atau Malaysia, kita adalah sama, tidak ada diskriminasi atau perbezaan dalam dunia hiburan khususnya filem Tamil kerana kita bergabung di bawah satu bumbung.

“Anda sememangnya tahu perkembangan industri filem di Malaysia dan menyedari hakikat ini, kami dari India mahu membawa hubungan antara dengan filem industri filem Tamil di Chennai.

“Sememangnya jika kita gabungkan semua penggiat filem di India dengan Malaysia, ia akan mengorak masa depan baharu untuk menjamin survival penggiat seni dalam industri ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Vishal berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan Malik Streams Corporation Sdn. Bhd. yang diterajui Datuk Abdul Malik dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di negara ini untuk menganjurkan satu konsert hiburan.

Selain itu, perlawanan persahabatan bola sepak melibatkan bintang filem Tamil  dikepalai pelakon filem terkenal, Rajinikanth dan Kamalhaasan akan diadakan pada Disember atau Januari tahun depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Terdapat ramai penggiat hiburan berbakat di industri filem Malaysia yang boleh menonjol dalam filem antarabangsa termasuk di India walaupun filem keluaran kami dari India ditonton ramai tanpa mengira bangsa di sini.

“Kerjasama kedua-dua pihak akan membuka peluang mengenalpasti kru juruteknik,  penerbitan filem dan komposer muzik yang berbakat di negara ini yang boleh diberi peluang untuk bekerja rapat menyumbang kepakaran kami.

“Saya juga boleh berjanji 100 peratus jika ada penulis skrip terbaik dalam kalangan anak seni India Malaysia sudah pasti saya akan memberi keutamaan pada masa akan datang,” tegasnya. – MalaysiaGazette

“Kita mahu kerjasama ini terjalin untuk memartabatkan industri filem India kdua-dua pihak sejajar dengan perkembangan dunia teknologi filem,”tegasnya. – MalaysiaGazette