Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tiga kiri) beramah mesra bersama penerima anugerah khas Patriotik Masyarakat Cina, Datuk Lee Chong Wei (tiga kanan) sambil diperhatikan oleh Cheong Jun Hoong (kanan) dan Dr. Lam Shu Jie (kiri) turut serta Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong (dua kiri) pada Majlis Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina Malaysia di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengkaji permintaan MCA supaya kerajaan menambah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Katanya, kerajaan menerima baik permintaan itu dan akan melihat kawasan mana sesuai untuk diluluskan pembinaan SJKC.

“Saya tahu permintaan masyarakat Cina, Presiden MCA (Datuk Seri Liow Tiong Lai) suarakan pada saya di luar kabinet (minta) untuk wujudkan sekolah Cina di tempat mempunyai ramai masyarakat Cina.

“Sebagai kerajaan, kita sedang kaji untuk tambah SJKC, kita sedang tengok kawasan mana untuk kita luluskan,” katanya pada Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina di Dewan Tun Abdul Razak 1 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Menurut Najib, sepanjang sembilan tahun beliau sebagai Perdana Menteri, beliau telah meluluskan peruntukan untuk sekolah Cina, iaitu jauh lebih besar dari perdana menteri yang memerintah selama 22 tahun.

“Kita boleh adakan lebih sekolah Cina tetapi mesti pertahankan dan berkebolehan berbahasa kebangsaan kita.

“Anda boleh belajar bahasa Cina, tapi tolong bercakap bahasa macam Presiden MCA dan Timbalan Presiden MCA (Datuk Seri Wee Ka Siong).

“Dia boleh cakap bahasa kebangsaan dengan baik. Jangan cakap gua lu…gua lu lagi,” katanya. – MalaysiaGazette