Datuk Abdul Malik (tiga kanan) menyampaikan cenderahati kepada Presiden Artis India Selatan merangkap pelakon filem Tamil, Vishal Krishna(empat dari kiri) di Majlis MoU kerjasama antara artis India Malaysia dan India Selatan di ibu negara semalam.

KUALA LUMPUR – Industri hiburan mengorak langkah terbaharu untuk mengangkat nasib dan kebajikan penggiat hiburan India tempatan ke tahap lebih tinggi pada masa akan datang.

Bagi tujuan itu, Persatuan Hiburan India Malaysia (PHIM) telah memeterai memorandum Persefahaman dengan Persatuan Artis India Selatan dan Majlis Penerbit Filem Tamil India Selatan dari Chennai di ibu negara malam tadi.

Pemeteraian persefahaman itu disifatkan sebagai peristiwa bersejarah untuk perfileman negara dan juga batu loncatan yang akan mentransformasikan industri hiburan India tempatan di Malaysia.

Pencetus idea disebalik peristiwa berkenaan, Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata, PHIM teklah mengambil inisiatif menggabungkan kesemua persatuan dan pertubuhan artis India kecil dibawah satu payung untuk membela nasib dan kebajikan artis India tempatan.

“Kita sedia ketahui umum bahawa industri hiburan dan filem tamil tempatan telah menjangkau usia hampir 50 tahun di negara ini.

“Dengan MoU berkenaan, kita menyediaka ruang dan peluang bagi syarikat penerbitan di Malaysia untuk menayangkan filem kita di negara India.

“Kedua, kita juga dapat berkongsi ilmu, kemahiran, kepakaran dan segala teknologi perfileman yang ada di kedua-dua negara sekali gus memajukan industri filem negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation Sdn.Bhd itu kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Persatuan Hiburan India Malaysia (PHIM) diwakili Vijay dan Presiden Persatuan Artis India Selatan merangkap Setiausaha Kehormat Majlis Penerbit Filem Tamil India Selatan, Vishal di ibu negara malam tadi.

Malah Abdul Malik berkata, kerjasama berkenaan akan mengangkat artis Malaysia ke tahap antarabangsa dalam dunia lakonan dan hiburan.

Untuk merancakkan lagi kerjasama itu, katanya, menjelang Januari 2018, beliau akan membawa semula Super Star dari India Rajinikanth dan konsert Bollywood pada 10 Februari depan menyaksikan kehadiran ekslusif selebriti tersohor Mumbai, Shah Rukh Khan, Bipasha Basu, dan ramai lagi. – MalaysiaGazette