Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai (hadapan, tiga kiri) mengibarkan Jalur Gemilang ketika lagu patriotik dimainkan pada Majlis Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina Malaysia di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung,”

Demikian prinsip masyarakat Cina Malaysia dalam menunjukkan semangat patriotik mereka kepada negara.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, mungkin sesetengah pihak tidak nampak semangat patriotik tertanam dalam jiwa komuniti Cina tetapi tidak perlu bimbang kerana itulah prinsip mereka selama-lamanya.

Beliau menjelaskan, masyarakat Cina tidak meminta lebih daripada segi pembahagian kek ekonomi negara tetapi mereka mempunyai emosi yang perlu ditangani sebaik mungkin oleh kerajaan.

“Masyarakat Cina patriotik pada negara, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kita sentiasa menekankan kepada kerajaan supaya sistem demokrasi yang sedia ada ini tidak menghalang kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina di Dewan Tun Abdul Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Tiong Lai mahu persatuan-persatuan Cina di negara ini bergabung untuk memberi kekuatan kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak agar terus memimpin kerajaan.

“Bersatu ini penting. Apabila kita kuat, kita secara tidak langsung memberi kekuatan kepada Perdana Menteri dan kerajaan BN,” katanya.

Beliau memberi contoh, selama 60 tahun negara mencapai kemerdekaan, pelbagai kaum termasuk masyarakat Cina menerima kepelbagaian dan keunikan budaya yang diamalkan kerajaan BN, yang tentunya tidak ada di negara lain.

“Kita teruskan budaya hormat menghormati, bekerjasama dengan semua kaum dan kekalkan keharmonian untuk masa-masa depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette