Tan Sri Noh Omar.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Noh Omar membidas kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mempersenda pengumuman kemasukan semula Tan Sri Muhammad Muhd. Taib ke dalam UMNO oleh Datuk Seri Najib Razak petang ini.

Menyifatkan Menteri Besar Selangor sebagai tidak sedar diri, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu berkata, Azmin sendiri telah menjunjung Tun Dr Mahathir yang disifatkan lebih buruk daripada akhbar lama.

“Alah..yang dia (Azmin) sokong, Dr Mahathir dalam Pakatan Harapan tu apa. Itu bukan surat khabar lama..dah buruk lagi dah.

“Tun Mahathir yang dah buruk tu pun dia boleh junjung. Sebab dia memang camtulah, kalau pergi dekat dia, itu surat khabar barulah, tapi kalau pergi ke tempat lain itu surat khabar lama.

“Ini semua politik, apa saja boleh,” katanya ketika ditemui selepas sidang media khas oleh perdana menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini petang ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Azmin di Twitter yang menyatakan “surat khabar lama” di percayai merujuk kemasukan semula Muhammad ke dalam UMNO sejurus pengumuman dibuat oleh Najib.

Sememntara itu, ketika mengulas mengenai pengumuman kemasukan semula Muhammad ke dalam UMNO, Noh berkata, beliau sememangnya mengalu-alukan kemasukan veteran tersebut untuk membantu Barisan Nasional (BN) merampas kembali Selangor daripada pembangkang.

Katanya, beliau tidak merasakan kehadiran Muhammad sebagai tamparan kepadanya sebagai pengerusi BN di Selangor sebaliknya, memang mahu agar bekas menteri besar Selangor itu menyertai UMNO semula.

“Saya anggap Tan Sri Muhammad Mohd. Taib ni macam sifu (guru) saya. Dia yang mula-mula bimbing saya dalam politik dan saya kenal beliau dah lama.

“Beliau bagi saya peluang jadi Ahli Parlimen sejak 1995. Apa saja yang akan saya buat pasti akan saya rujuk padanya,” ujarnya.

Menurut Noh, meskipun Muhammad pernah keluar daripada UMNO tetapi hubungan antara mereka berdua tidak pernah putus.

Malah katanya, mereka sering kunjung mengunjung ke rumah antara satu sama lain, lebih-lebih lagi pada rumah terbuka hari raya Aidilfitri yang diadakan setiap tahun.

“Bila hari ini beliau masuk semula ke dalam UMNO saya rasa ia telah memberikan lebih kekuatan kepada saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.