Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperluaskan program pemulihan dadah dalam kalangan remaja bagi membendung penyalahgunaan bahan terlarang itu, kata Khairy Jamaluddin semasa melawat Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar hari ini.

Menteri Belia dan Sukan itu melahirkan kekecewaan dengan insiden menimpa pusat tahfiz tersebut kerana ia melibatkan golongan remaja terlibat dalam dadah yang sanggup membuat tindakan luar batasan.

“Ini adalah tragedi kebakaran yang amat sedih dirasai semua rakyat Malaysia,” katanya semasa sidang media selepas selesai melawat.

Khairy berkata, program pemulihan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan diperluaskan dengan menjejaki lebih ramai remaja untuk diserapkan dalam program tersebut.

“Kita akan kerjasama dengan KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan AADK kenal pasti hotspot yang perlu dijejaki dan beri perhatian mencari remaja bermasalah.

“Program ini akan sentiasa berjalan dan mungkin beberapa penambahbaikan perlu ditambah untuk menampung remaja yang terlibat,” ujarnya.

Menurut Khairy, program tersebut juga akan memfokuskan kepada bentuk latihan kepada remaja supaya apabila mereka keluar kelak dapat mencari pekerjaan.

“Mereka ini akan diberi latihan kemahiran supaya kelak bila keluar ada pekerjaan.

“Kita lihat kebanyakan remaja yang terlibat dadah ini tidak mempunyai pekerjaan dan menyebabkan mereka terlibat dalam jenayah,” katanya.

Pihak polis berjaya menangkap tujuh suspek terlibat dalam insiden kebakaran pusat tahfiz tersebut dan enam daripadanya positif dadah.

Terdahulu, Khairy memberitahu, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) melalui KBS menawarkan perkhidmatan percuma untuk membuat pendawaian kepada semua sekolah tahfiz yang berhampiran dengan IKBN di seluruh negara.

“Walaupun tak ada kaitan dengan pendawaian seperti mana siasatan polis telah buat rumusan yang ini adalah kes khianat, isu keselamatan tahfiz perlu dilihat secara keseluruhan dan KBS telah arahkan institusi IKBN untuk membuat pendawaian elektrik secara percuma kepada sekolah tahfiz.

“Kita akan buat pemantauan untuk pembaikan sistem pendawaian sekiranya diperlukan,” katanya.

Sebelum itu, KBS telah memberi sumbangan kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang diterima pengetuanya, Muhammad Zahid Mahmud.

Dalam tragedi pagi Khamis lalu, seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban dalam kebakaran tersebut.

Kesemua mangsa ditemui rentung di tingkat atas pusat tahfiz berkenaan yang didiami oleh 36 penuntut dan enam orang guru.

Selain itu, 14 pelajar yang terselamat kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mana dua daripadanya berada di zon merah dan tiga di zon kuning.

Sejak tahun 2011, sebanyak 31 kes kebakaran terjadi di sekolah tahfiz berlaku dengan jumlah kerugian berjumlah RM1.4 juta. – MalaysiaGazette