Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan skim pelaburan Kongsi Makan Bhd di Melaka dengan tertangkapnya seorang individu yang bergelar ‘Datuk Seri’ hari ini.

Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota daripada JSJK Bukit Aman telah menjalankan serbuan ke sebuah rumah di Melaka bagi menahan seorang lelaki yang disyaki berperanan sebagai dalang utama skim ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya telah menerima 113 laporan polis berkenaan Skim Pelaburan Kongsi Makan Bhd. melibatkan kerugian keseluruhan RM3.75 juta.

Katanya, dalam serbuan pada awal pagi Selasa, seorang lelaki Melayu bergelar Datuk Seri berusia 39 tahun yang merupakan pengerusi syarikat berkenaan telah ditahan.

“Turut dirampas dari rumah itu adalah sebuah kenderaan jenis Range Rover, 2 unit telefon jenama iPhone 7 Plus dan pelbagai dokumen Syarikat Kongsi Makan Bhd.

“Suspek dan kesemua rampasan telah diserahkan kepada JSJK Kuala Lumpur dan sedang direman selama 3 hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media di ibu negara.

Tambahnya, Polis juga akan mengambil tindakan ke atas suspek mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Ujar beliau, hasil siasatan mendapati Syarikat Kongsi Makan Bhd telah ditubuhkan pada tahun 2015 dan masih aktif beroperasi sehingga kini.

Justeru katanya, syarikat ini mendakwa menjalankan perniagaan dengan objektif utama untuk membantu peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi menjual produk mereka melalui stokis milik syarikat.

Beliau mendedahkan, untuk mendaftar seseorang pelabur dikehendaki membayar keahlian sebanyak RM1,700 untuk set dan dijanjikan bonus antara RM800 hingga RM1,200 setiap set selepas tiga bulan.

“Namun, setelah bayaran diberikan, bonus yang dijanjikan tidak dibayar. Siasatan turut mendapati dianggarkan 70,000 ke 80,000 orang telah menyertai skim pelaburan ini, tegas beliau.

Berikutan tangkapan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa kegiatan penipuan pelaburan sebegini.

“Sekiranya ditawarkan sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat, segeralah membuat semakan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan kesahihan pelaburan tersebut sekaligus mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tampil membuat laporan polis sekiranya terlibat oleh skim pelaburan sebegini kerana pihak polis percaya jumlah mangsa yang terlibat dengan kes penipuan pelaburan ini adalah ramai namun jumlah yang tampil membuat laporan adalah sedikit.

“Ingatlah bahawa kerjasama antara pihak polis dan orang ramai amatlah diperlukan bagi membanteras kegiatan penipuan sebegini daripada terus berleluasa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette