KUALA LUMPUR – Kumpulan rock metal terkenal dari Amerika Syarikat, Dream Theater bakal mengadakan konsert pertama di Malaysia pada 2 Oktober ini.

Konsert Dream Theater Live in Kuala Lumpur itu akan didakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 8.30 malam.

Penganjur konsert tersebut IME Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu konsert itu bersempena dengan ulangtahun ke-25 album Images & Words yang bermula di Rom, Itali pada 30 Januari lalu.

Kumpulan itu dijangka mempersembahkan lagu-lagu hit mereka seperti Pull Me Under, Another Day, Metropolis Part 1, Under A Glass dan banyak lagi dalam konsert itu nanti.

Dream Theater dibarisi James La Brie (penyanyi), John Petrucci (gitar), John Myung (bass), Jordan Rudess (keyboard) dan Mike Mangini (dram).

Dalam pada itu, album-album Dream Theater sudah terjual lebih 10 juta unit di seluruh dunia selain menerima lima pengkitirafan emas dan platinum daripada RIAA.

Kumpulan itu juga pernah memenangi anugerah Metal Madness 2013 dan menewaskan kumpulan-kumpulan lain seperti Megadeth, AC/DC dan Ronnie James Dio.

Album mereka menduduki tempat ke-95 dalam senarai 100 Album Metal Terbaik Sepanjang Zaman oleh majalah Rolling Stone.

Tiket untuk menyaksikan Dream Theater Live in KL berharga RM488 (VIP), RM398 (Cat 1), RM308 (Cat 2), RM238 (Cat 3) dan RM188 (Cat 4 ).

Ia boleh didapati menerusi Ticket di www.ticketcharge.com.my atau hubungi talian hotline 603-92228811.

Peminat Dream Theater juga boleh mendapatkan tiket di cawangan terpilih Speedy Video, Victoria Music, Rock Corner, Chambers Music, PJ Live Arts, kaunter maklumat di The Mines shopping mall atau 1 Shamelin, Eden Ultimate (Kuantan) dan juga Blonde Brunette (Penang).

Sebelum ini, IMEI Malaysia pernah menganjurkan beberapa konsert artis antarabangsa di Kuala Lumpur seperti Mariah Carey, Michael Buble dan kumpulan K-pop INFINITE. – MalaysiaGazette