Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali bercakap pada sidang media mengenai isu semasa di Ibupejabat Perkasa Malaysia, Kompleks Damai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan syarikat kawalan keselamatan menyediakan khidmat pengawal keselamatan 24 jam secara percuma di setiap pusat tahfiz sebagai langkah menjaga keselamatan pelajar dan bangunan itu.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, selain syarikat berkenaan, syarikat multinasional sama ada milik kerajaan mahu pun bukan kerajaan juga harus tampil berbuat kebajikan dengan membiayai sekurang-kurangnya seorang pengawal keselamatan untuk menjaga pusat tahfiz.

“Saya dimaklumkan ada lebih 500 syarikat kawalan keselamatan yang berdaftar dan berjaya. Begitu juga banyak syarikat MNC dan GLC serta tokoh korporat yang berjaya. Tidak rugi mereka menaja atau membayar gaji pengawal keselamatan ini untuk menjaga pusat tahfiz sepanjang masa.

“Gaji seorang pengawal keselamatan warga asing tidak sampai pun RM1,000 seorang, apa salahnya kita berbuat kebajikan atau jadikan pembiayaian itu secara saham akhirat demi untuk menjaga dan menjamin keselamatan pelajar,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Ibrahim berkata demikian ketika diminta pandangan berhubung insiden yang mengorbankan 23 pelajar termasuk dua guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah, Keramat Ujung awal pagi Khamis lalu.

Ketika kejadian, Ibrahim dan isteri, Datin Rohayah antara yang awal sampai di tempat kejadian dan sempat melihat kesan mayat pelajar serta guru yang terkorban itu.

“Saya terawal tahu sebab kejadian berlaku dekat dengan rumah saya di Taman Melawati. Saya awal-awal pergi dan ucapkan takziah kepada keluarga. Minta mereka bersabar dan tunggu penyiasatan polis.

“Tapi yang lain, tanpa usul periksa, tiba di tempat kejadian terus menyalahkan pengurusan pusat tahfiz. Terus menjatuhkan hukum kononnya bangunan tidak menepati spesifikasi, tidak ada sijil layak menduduki dan sebagainya.

“Macam-macam tuduhan keluar dari kenyataan golongan yang berjawatan tinggi. Masing-masing menuding jari menyalahkan pihak pusat tahfiz. Akhir sekali, keputusan polis kejadian itu disebabkan khianat,” katanya.

Sebab itu, Ibrahim mencadangkan peruntukan disediakan supaya kerajaan dan swasta membiayai pengawal keselamatan.

Dengan adanya mereka ini, sekurang-kurangnya kejadian seperti berlaku ke atas Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dapat dicegah atau dielakkan.

“Pengawal keselamatan ini akan menjaga 24 jam dan mereka boleh bertindak cepat kalau berlaku hal berkaitan teknikal. Ini yang dikatakan masyarakat prihatin. Ini begitu ramai hendak berpolitik,” ujar beliau. – MalaysiaGazette