Wednesday, April 24, 2024
Home Sukan Sukan Para ASEAN: Basikal sapu bersih emas

Sukan Para ASEAN: Basikal sapu bersih emas

NILAI – Skuad basikal negara membuktikan keunggulan apabila menutup tirai acara trek Sukan Para ASEAN Ke-9 hari ini dengan dengan memenangi lima pingat emas untuk menyapu bersih semua pingat emas.

Sebanyak 12 pingat emas ditawarkan dalam temasya kali ini yang berlangsung di Velodrom Nasional di sini

Selepas meraih tujuh emas pada hari pertama semalam, pelumba negara terus mengganas tanpa belas ihsan untuk memberi satu pun pingat emas jatuh ke tangan negara lain.

Emas pertama hari ini diraih menerusi pelumba buta wanita Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais yang berpasangan dengan pilotnya Noraidillina Adilla J. Sam dalam acara 3,000 meter kejar-mengejar.

Dalam aksi akhir, Azlia/Adilla mencatat masa empat minit, 4.633 saat untuk menewaskan pelumba Singapura, Emily Lee/Sarah Tan yang terpaksa berpuas hati dengan perak manakala gangsa menjadi milik satu lagi pasangan negara Nur Syahida Tajudin/Nur Rozi Yanti Mat Rodzi.

Ini merupakan pingat emas ketiga Azlia, 19, dan pasangannya dalam temasya kali ini selepas turut menjuarai acara 200m pecut dan 1 kilometer ujian masa semalam.

Emas kesembilan disumbangkan Muhammad Amin Najmi Romzi bersama pelumba pilotnya Mohd. Firdaus Mohd. Zonis yang membuat kejutan menewaskan pelumba pilihan yang juga rakan sepasukan Mohd. Afiq Afify Rizan/Mohd. Khairul Adha Rasol.

Dalam akhir acara 4,000m kejar mengejar lelaki kategori buta itu, Najmi/Firdaus mencatat masa 4:55.501s, lebih 10s pantas berbanding Afiq/Khairul Adha, manakala gangsa milik pelumba Singapura, Jensen Ng/Calvin Sim.

Ini disusuli dengan emas ke-10 menerusi Shukor Farhan Suliman dalam acara 3,000m kejar-mengejar C1, C2, C3 campuran, sekali gus menebus kekecewaannya tidak dapat beraksi dalam acara 1km ujian masa lelaki semalam akibat demam.

Farhan mencatat masa 4:06.204s untuk menewaskan rakan sepasukan Mohd. Nabil Rosli, manakala gangsa juga milik pelumba negara Nur Faizah Aziz.

Emas ke-11 diraih Mohd. Najib Turano dalam 4,000m kejar-mengejar lelaki kategori C4 (cacat anggota bukan kudung kaki) selepas mencatat masa terpantas 5:10.010s untuk menewaskan pelumba Indonesia, Mohd. Fadli Imammuddin. Gangsa milik seorang lagi pelumba negara Mohd. Hafiz Jamali.

Emas terakhir dan ke-12 hari ini disumbang Zuhairie Ahmad Tarmizi dalam 4,000m kejar mengejar lelaki kategori C5 dengan menewaskan pelumba Filipina, Arthus Eustaquio Bucay pada aksi final.

Zuhairie mencatat masa 5:06.968s untuk meninggalkan Arthus lebih 11s di belakang, manakala gangsa milik pelumba Indonesia, Sufyan Saori. – MalaysiaGazette