Fotografi bersama pelakon teater Bahara Emas, Izzue Islam semasa photoshoot di Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pelakon Izzue Islam menolak tanggapan ahli kumpulan Forteen yang sekadar tempelan dalam teater Bahara Emas yang bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini bulan depan.

Izzue yang juga anggota kumpulan itu menegaskan, dalam sesebuah teater sekecil mana pun karakter tetap penting untuk menghidupkan naskhah berkenaan.

Dia juga menafikan telah meletak syarat anggota Forteen perlu berlakon dalam teater berkenaan sekiranya pihak produksi mengambilnya berlakon.

“Ini merupakan teater ketiga yang melibatkan saya bersama anggota Forteen yang lain. Namun, saya tidak pernah meletakkan apa-apa syarat kepada produksi.

“Sebenarnya ia merupakan rezeki kepada Forteen apabila pengarah sendiri yang mahu mereka berlakon dalam teater ini. Pada saya ia merupakan peluang yang baik buat Forteen,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Izzue akan membawakan watak Tun Busu dalam teater Bahara Emas yang diarahkan pengarah tersohor, Siti Rosminah Tahir.

Teater tersebut merupakan terbitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama CTRA Production, DBP, Istana Budaya dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Pelakon teater Bahara Emas, Izzue Islam di Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 SEPTEMBER 2017

Izzue sebelum ini pernah beraksi di pentas teater Ombak Rindu dan Projek Kahwin.

Ditanya watak utamanya yang dipegangnya itu, Izzue melahirkan rasa syukur apabila diberi peluang untuk beraksi dalam teater bangsawan itu.

Jelasnya, ini kerana bukan mudah untuk sesebuah produksi meletakkan kepercayaan kepada seseorang pelakon untuk membawakan watak utama menerusi sesebuah teater, khususnya yang berbentuk bangsawan.

“Apatah lagi apabila mempertaruhkan pelakon yang tidak banyak pengalaman seperti saya. Jadi, apabila diberi kepercayaan yang sebegitu besar, saya rasa bersyukur dan bertekad mahu memberikan 100 peratus komitmen dalam teater ini,” katanya.

Izzue juga mengakui Bahara Emas merupakan teater bangsawan pertama selepas hampir sembilan tahun menceburi bidang seni,

“Memang saya sangat gementar namun dalam masa sama begitu teruja. Saya tidak pernah melalui proses menjayakan sesebuah teater bangsawan yang dianggap begitu berlainan berbanding teater konvensional.

“Sebagai pelakon saya perlu menjaga lenggok bahasa istana dan pergerakan badan agar bersesuaian dengan setiap babak. Projek ini memberikan semangat untuk saya mempelajari ilmu baharu,” katanya.

Sementara itu, barisan pelakon lain yang menerajui pementasan itu antaranya Esma Daniel, Datuk Jalaluddin Hassan, Farahdhiya, Amar Asyraf, Mardiana Alwi, Eyzendy Aziz, Zera Hariz, Aman Nasim dan Mubarak Majid.

Teater itu turut memuatkan lebih 10 lagu ciptaan komposer terkenal Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah). – MalaysiaGazette