Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar
KUALA LUMPUR – Serangan bertali arus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai potensi besar pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Amerika Syarikat (AS) mencerminkan sikap sebenar pembangkang yang meminggirkan kepentingan rakyat.
Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, pemimpin pembangkang bukan sahaja mempunyai tahap pemikiran rendah bahkan tindakan itu bertentangan dengan pendirian mereka sebelum ini.
“Sepatutnya pimpinan pembangkang perlu mengalu-alukan tindakan kerajaan membuat pelaburan dan menarik pelabur luar bagi manfaat rakyat, tetapi tindakan kerajaan tidak pernah mendapat sokongan.
“Pembangkang pernah menyatakan sokongan sekiranya usaha kerajaan memberi manfaat kepada rakyat, namun keadaan berlaku sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam lawatan selama tiga hari ke AS, Perdana Menteri mengumumkan KWSP bakal melabur sebanyak AS$3 bilion (RM13 bilion) kepada AS$4 bilion bagi menyokong pembangunan semula infrastruktur AS.
Najib juga mengumumkan Malaysia Airlines Bhd (MAS) juga memesan beberapa pesawat Boeing berjumlah lebih daripada AS$10 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
Zulkarnain juga berkata, lebih parah apabila ada segelintir pemimpin pembangkang cuba menghalang kedatangan pelabur luar ke Malaysia dengan pelbagai cara.
“Ada segelintir pimpinan pembangkang memburuk-burukkan kerajaan Malaysia kononnya sebagai sebuah negara tidak mengamalkan demokrasi dan negara bakal bankrap dan muflis,” katanya.
Beliau berkata, keputusan Najib tidak dilakukan bersendirian, sebaliknya analisis mendalam telah diperhalusi dan mendapat kelulusan pelbagai peringkat daripada pengurusan tertinggi KWSP.
“Pengalaman serta kemahiran KWSP dalam membuat pelaburan tidak boleh dipertikai, bahkan rekod telah menunjukkan KWSP telah memberi sumbangan bermakna terhadap pendapatannya sebelum ini,” katanya.
Katanya lagi, ini bukan kali pertama KWSP melabur dananya ke dalam pasaran saham AS dan Eropah bagi meningkatkan kadar pulangan dividen untuk para pencarum.
“Pertemuan itu hanyalah sebagai satu bentuk usaha untuk menambah peluang baharu pelaburan KWSP.
“Mengikut rekod, sejumlah 28 sehingga 29 peratus atau AS$50 bilion daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP berjumlah AS$180 bilion dilaburkan di luar negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Comments are closed.