logo plus

KUALA LUMPUR – Kira-kira 14.5 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mungkin kehilangan pendapatan dividen yang mantap sekiranya dana pencen itu menjual kepentingannya dalam PLUS Malaysia Berhad.

Kebimbangan ini semakin meningkat berikutan laporan Tan Sri Abu Sahid Mohamad sedang berusaha untuk mengambil alih PLUS Malaysia melalui syarikatnya, Maju Holdings Sdn Bhd.

KWSP menguasai 41 peratus pegangan dalam PLUS Malaysia manakala bakinya dikuasai oleh UEM Group Berhad, anak syarikat milik Khazanah Nasional Berhad.

Para penganalisis berkata, cadangan itu wajar ditolak kerana KWSP dan Khazanah menikmati pulangan yang baik daripada penguasaan dalam PLUS Malaysia sejak akhir tahun 2011.

Menurut mereka, PLUS Malaysia juga mewakili perniagaan teras bagi Khazanah dan pelaburan utama untuk KWSP, sekali gus pendapatan penting bagi kedua-duanya.

Lantaran itu, ia menimbulkan persoalan yang tidak dapat dielakkan tentang mengapa dana atau Khazanah perlu menjual kepentingannya dalam syarikat pengendali lebuh raya itu.

Sekiranya penjualan dilakukan, KWSP akan kehilangan pendapatan berharga daripada kutipan tol dan akibatnya akan menjejaskan pembayaran dividen yang baik kepada ahli-ahlinya.

Persoalan lain yang dibangkitkan adalah mengapa perlu menjual aset negara kepada pihak swasta apabila ia dimiliki oleh rakyat melalui pemilikannya melalui syarikat berkaitan kerajaan iaitu UEM Group dan KWSP.

Pelaburan itu telah memberi manfaat kepada rakyat Malaysia termasuk dari Sabah dan Sarawak, jadi PLUS Malaysia harus terus kekal dalam portfolio KWSP sebagai pelaburan strategik jangka panjang, kata para penganalisis.

Dan, apabila dividen dibayar kepada Khazanah, ia mengalir kembali kepada kerajaan yang kemudiannya boleh digunakan untuk pembangunan infrastruktur.

Penganalisis menyatakan berdasarkan sifat strategik aset, adalah penting bagi Khazanah dan KWSP untuk kekal sebagai pemilik PLUS Malaysia ini kerana kedua-duanya mewakili kerajaan dan rakyat. – MalaysiaGazette