KUALA LUMPUR – Pertubuhan Aduan Rakyat Malaysia menyokong tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang tidak meluluskan permit pesta arak ‘Better Beer Festival 2017’ yang dirancang di tempat awam di ibu negara.

“Kenyataan dan pendirian ahli DAP, Zaid Ibrahim mengenai penganjuran pesta itu pelik dan tidak ikhlas sebagai seornag Islam kerana sanggup membidas DBKL yang tidak mahu meluluskan permit.

“Kerajaan Malaysia tidak pernah melarang yang bukan Islam dalam pengambilan arak dan pada masa yang sama penjualan dan minimun arak dilarang sama sekali di tempat awam.

“Pada tahun-tahun yang lepas penganjur telah mengadakan festival ini di tempat persendirian atau ‘Private Places’ jadi mengapa kali ini mereka cenderung menganjurkannya di tempat awam,” kata Presidennya, Datuk A. Chandrakumanan dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, penganjur perlu memahami sensitiviti dan menghormati rakan-rakan yang beragama Islam, kanak-kanak dan yang bukan islam yang tidak mengambil minuman keras.

“Janganlah oleh kerana ideologi politik yang berlainan dan dengan motif yang jahat Zaid sanggup gadai adat resam dan budaya negara kita untuk program seperti ini.

“Janganlah Zaid Ibrahim mahu jadi hipokrit dan menghebohkan isu ini yang tidak penting dan tidak membawa apa-apa manfaat kepada rakyat dan negara tetapi ianya hanya untuk menwujudkan kebencian terhadap kerajaan dikalangan bukan Islam,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan bekas Naib Presiden PPP itu juga mempersoalkan hasrat Zaid yang juga bekas Menteri Undang-Undang menginginkan akta minuman keras di tempat awam dimansuhkan.

“Negara kita ada undang-undang yang melarang pengambilan minuman keras ditempat awam dan ini perlu dihormati oleh rakyat Malaysia.

“Ia bukan hanya untuk umat Islam, tetapi juga untuk diikuti seluruh Rakyat Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, Chandrakumanan menasihatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Zaid Ibrahim supaya mencari isu lain untuk ‘menghasut’ penduduk negara ini.

Katanya, kedua-dua pemimpin itu tidak perlu bandingkan Malaysia dengan Europah, Jepun dan Amerika Syarikat dan yang mana undang-undang negara berkenaan berbeza dengan undang-undang Malaysia.

“Cukuplah Zaid dan Teresa Kok majoriti rakyat faham ‘ada udang disebalik batu’ dan juga kepentingan politik diri sendiri anda yang cuba memecah belah perpaduan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.