NEW YORK – Uber Technologies Inc. yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat berhubung kemungkinan wujudnya unsur perlakuan menyalahi undang-undang berkaitan rasuah, telah menyemak semula operasinya di Asia.

Syarikat e-hailing itu juga telah memaklumkan kepada pihak berkuasa AS berhubung pengaturan pembayaran yang telah dibuat kakitangannya kepada pegawai-pegawai polis di Indonesia, demikian menurut sumber kepada Reuters.

Semakan semula itu berikutan kenyataan Uber pihaknya sedang bekerjasama dengan siasatan awal yang diketuai Jabatan Keadilan (DOJ) AS untuk melihat sama ada pengurus-pengurus syarikat itu telah melanggar undang-undang negara berkenaan berhubung pemberian rasuah kepada pegawai asing mengikut Akta Amalan Rasuah Asing.

Uber telah mengupah firma guaman O‘Melveny & Myers LLP untuk menyemak operasinya di Asia.

Bloomberg yang pertama melaporkan bahawa Uber sedang melakukan semakan semula terhadap operasi-operasinya di Asia dengan memberi fokus kepada aktiviti-aktiviti meragukan di China, India, Indonesia, Malaysia dan Korea Selatan.

Firma guaman itu juga dikatakan sedang menyemak urusan kewangan yang antara lain turut melibatkan kerajaan Malaysia yang berkemungkinan boleh mempengaruhi pembuat dasar di negara tersebut.

Hubungan kewangan Uber dan agensi berkaitan kerajaan Malaysia termasuk pelaburan sebanyak AS$30 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Uber turut menyertai program keusahawanan yang dilaksanakan oleh kerajaan menerusi Pusat Inovasi dan Kreativiti Global (MaGIC).

Pelaburan oleh KWAP dan penyertaan dalam program MaGIC dilakukan selepas undang-undang ride-sharing diluluskan pada Julai.

KWAP bagaimanapun enggan mengulas ketika dihubungi Reuters.

“Kami menolak sebarang penyertaan dalam aturan quid-pro-quo,” katanya.