Ketua Wira Perkasa, Burhanuddin Ruslan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) melakukan perubahan kecil pada barisan kepimpinan sayapnya, Wira Perkasa dan pelantikan baharu Ahli Dewan Tertinggi (ADT).

Perubahan itu melibatkan pelantikan Pemangku Ketua Wira, Burhanuddin Ruslan sebagai Ketua Wira dan Wan Danial Wan Mohamad sebagai Naib Ketua Wira.

Perkasa turut melantik dua ADT baharu iaitu seorang saintis, Prof. Dr. Rom Jamjis dan mantan Naib Ketua Wira Perkasa, Mohamad Shahiran Safwan Che Asmeri.

Menurut Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali pelantikan itu berkuatkuasa serta merta.

Kata beliau, Ketua Wira sebelum ini, Muhammad Azrul Akmal Saharudin telah memohon mengundurkan diri kerana komitmen kerja yang berat.

“Muhammad Azrul bekerja di sebuah syarikat asing dan terikat dengan kerja. Dia memberitahu saya perkara itu dan saya sangat faham keadaannya.

“Saya dan seluruh barisan kepimpinan Perkasa mengucapkan terima kasih kepada Muhammad Azrul atas komitmennya kepada Wira Perkasa selama ini dan kita percaya penggantinya, Burhanuddin dapat memikul tanggugjawab untuk mengetuai sayap pertubuhan ini,” katanya kepada media di pejabatnya di sini, semalam.

Kata Dr. Ibrahim, Perkasa juga mewujudkan satu portfolio baharu iaitu Biro Lapur dan Cegah Rasuah Perkasa yang dipengerusikan Mohd Shahiran.

“Tugas biro baharu ini ialah sekiranya mendapati ada unsur rasuah atau salah laku dalam kalangan masyarakat mahupun pemimpin politik, mereka akan membuat laporan sama ada kepada polis mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mengenai Prof. Dr. Rom, beliau adalah tokoh saintis yang pernah disenaraikan antara 500 saintis dunia oleh New York Times dan juga tokoh akademik,” katanya. – MalaysiaGazette