LIM GUAN ENG
PULAU PINANG – Tidak puas hati atas rungutan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, seorang jurugambar China Press bertindak meluah perasaanya secara terbuka mengenai pengalaman mengejar kereta rasmi ketua menteri dalam keadaan hujan lebat.
Guan Eng sebelum ini telah mengeluarkan rungutan bahawa hanya terdapat sebuah akhbar bahasa Cina yang turun membuat liputan mengenai lawatannya ke kawasan banjir di Pulau Pinang.
Menurut Guan Eng, media tidak membuat laporan mengenai lawatannya tetapi lebih suka untuk melaporkan apabila ada pihak yang mahu menimbulkan masalah buat kerajaan negeri.
Keadaan itu juga menyebabkan ramai terbayang akan hubungan Guan Eng yang tidak terlalu mesra dengan pengamal media di Pulau Pinang sehingga ada wartawan daripada Guang Ming Daily yang sanggup mengheret ketua menteri itu ke mahkamah.
Hubungan Guan Eng dengan wartawan nampaknya semakin keruh apabila China Press menyiarkan artikel pengalaman jurugambarnya, Chen Jing Rong yang “basah seluar dalam” ketika membuat liputan mengenai banjir di Pulau Pinang.
Pengamal media itu jelas kelihatan tidak puas hati apabila Guan Eng merungut hanya terdapat sebuah akhbar Cina yang membuat liputan mengenai lawatannya ke kawasan banjir.
“Semua rakan sekerja pada hari kejadian telah bekerja dengan sangat teruk. Walaupun telah mengenakan baju hujan semasa membawa motosikal, saya sendiri tetap basah kuyup apabila membuat liputan, malahan seluar dalam juga sudah basah.
“Saya tersinggung apabila ketua menteri yang amat menyayangi rakyat itu merungut bahawa hanya terdapat satu akhbar Cina yang membuat liputan mengenai lawatannya ke kawasan banjir. Pada hari kejadian, saya telah mengejar kereta rasmi ketua menteri dengan menggunakan motosikal.
“Biro Utara China Press tidak lagi menerima jadual ketua menteri sejak dua tahun lalu dan kami terpaksa mendapatkannya melalui saluran lain. Apabila jadual ketua menteri diperoleh, ia sudah terlambat. Motosikal saya juga gagal mengejar kereta rasmi ketua menteri,” kata jurugambar itu.
Walaupun gagal menangkap gambar ketua menteri, jurugambar itu tetap membuat liputan di kawasan-kawasan banjir yang dilawati Guan Eng.
“Walaupun sampai ke tahap basah kuyup, saya tetap gagal mengejar kereta rasmi Guan Eng. Setiap kali sampai ke lokasi, Guan Eng telah meninggalkan tempat itu.
“Jika sempat mengejar, saya tetap akan merakamkan detik Guan Eng melawat kawasan banjir,” katanya.