KUALA LUMPUR – Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi yang melanda tengah Mexico pada Selasa.

Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, 19 orang rakyat Malaysia yang tinggal di Mexico City memberitahu kedutaan bahawa mereka selamat.

“Kedutaan Malaysia di Mexico City memberitahu kami, empat daripada 19 rakyat Malaysia itu menetap di bandar berkenaan dan mereka selamat.

“Manakala 15 lagi tinggal di kawasan lain yang tidak terjejas dengan gempa bumi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dua negeri, Morelos dan Puebla di Mexico mengalami gempa bumi dengan skala richter 7.1 magnitud dan 6.8 magnitud pada Selasa.

Titik tengah gempa bumi tersebut adalah di Axochiapan, sebuah bandar di negeri Morelos, terletak kira-kira 120 kilometer tenggara Mexico City.

Menurut agensi pelindungan awam Mexico, sekurang-kurangnya 226 terkorban dalam gempa bumi tersebut.

Wisma Putra menerusi Kedutaan Malaysia di Mexico City berkata, mereka akan terus memantau situasi berkenaan.

Sekiranya ada pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Mexico City di talian 52 55 5282 4656, +52 55 5282 5166 atau menerusi emel [email protected] atau [email protected]. -MalaysiaGazette