Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Muhammad Zahid Mahmod.

KUALA LUMPUR – “Walaupun orang lihat saya tersenyum, tapi sebenarnya hati saya masih menangis.”

Demikian luah hati Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Muhammad Zahid Mahmud yang mengakui sering teringat-ingat dan rindu terhadap pelajar-pelajar dan guru di tahfiznya yang terkorban.

Meskipun, sehingga ke hari ini banyak pihak tampil membantu dengan memberikan sumbangan kewangan dan sebagainya, namun semua itu tidak dapat mengubati sebak di hatinya ekoran peristiwa hitam yang dialami.

Menceritakan perasaannya kepada MalaysiaGazette, Muhammad Zahid berkata, beliau tidak bercerita atau menunjukkan perasaan yang terpendam di hatinya meskipun insiden kebakaran di pusat tahfiznya telah seminggu berlalu.

“Saya akan senyum kepada semua orang yang datang berkunjung ke sini. Mereka datang untuk membantu dan memberi kata-kata semangat kepada kami.

“Tapi bila saya melihat bangunan yang terbakar ini hati saya sedih dan sayu.

“Mereka sudah seperti anak-anak saya sendiri dan kerana itulah hati saya ini sering teringatkan mereka,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, ketika berkongsikan maklumat berkenaan sumbangan yang diterima pihaknya, Muhammad Zahid berkata, sehingga kini sebanyak RM1 juta telah diperoleh hasil daripada pemberian semua pihak.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberi sumbangan itu.

“Sememangnya hanya Allah saja yang dapat membalas jasa kalian semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette