Ernie Zakri

KUALA LUMPUR – Hari ini dalam dunia seni, bakat sahaja tidak cukup walaupun memiliki vokal yang mengagumkan.

Maksud mudah, kena ada tuah untuk dikenali. Itulah nasib yang menimpa, juara Bintang RTM 2009, Ernie Zakri.

Namun bagi Ernie, 25, penantian yang ditempuhinya itu mula berbaloi dan dia tidak menyesali takdir hidupnya sebagai anak seni penuh berliku.

Pemilik nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, muncul juara program Duo Star bersama-sama Syamel pada Februari lalu mula memberi sedikit sinar cahaya kepada dirinya.

“Saya bersyukur selepas program Duo Star, saya dapat banyak undangan persembahan berbanding sebelum ini kerana akan sibuk setiap hujung minggu.

“Alhamdulillah, Duo Star menjadi pembuka jalan kepada saya untuk kembali bersemangat dalam dunia seni.

“Ketika ini, perancangan single baharu memang ada namun saya dan Syamel sedang mempromosi lagu duet kami iaitu Aku Cinta,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Ernie Zakri muncul juara program Duo Star bersama-sama Syamel pada Februari lalu.

Ernie pernah tampil dengan album berjudul Sinaran pada 2011.

Selain dikenali menerusi single Jangan Marah, Ernie merupakan anak saudara kepada penyanyi Ziana Zain dan Anuar Zain.

Jelas wanita bertubuh genik itu, dia tidak akan cepat berpuas dengan perubahan yang dialaminya hari ini.

“Untuk saya berada pada tahap sekarang laluannya bukan mudah. Namun saya cuba bertahan kerana percaya rezeki setiap orang itu telah diatur sebaik-baiknya.

“Apatah lagi, lapan tahun berada dalam industri bukannya satu tempoh masa yang sekejap,” katanya.

Mengulas tentang album baharu, Ernia berkata, dia lebih selesa untuk memilih lagu berentak balada.

“Sudah pasti saya menyimpan impian untuk hasilkan album baharu berdasarkan single yang sudah ada,” katanya yang meminati penyanyi Rihanna. – MalaysiaGazette