Ucapan tahniah "Congratulations to Johor Darul Ta'zim FC From Carabao" yang dipancarkan di papan iklan semasa siaran langsung perlawanan Chelsea menentang Nottingham Forest, awal pagi tadi. Foto Agensi

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat penghargaan dunia selepas menjulang Liga Super 2017 malam tadi.

Ini kerana kelab milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendapat ucapan tahniah yang tertera di papan iklan semasa siaran langsung perlawanan Chelsea menentang Nottingham Forest, awal pagi tadi.

Ucapan tahniah berkenaan dapat dilihat dengan jelas ketika perlawanan pusingan tiga Piala Liga Inggeris menerusi penaja kejohanan, iaitu Carabao pada aksi di Stamford Bridge itu.

“Congratulations to Johor Darul Ta’zim FC From Carabao” (Tahniah kepada Johor Darul Ta’zim FC daripada Carabao).

Foto Facebook Johor Southern Tigers.

Carabao merupakan syarikat minuman tenaga berpangkalan di Thailand dan penaja utama saingan Piala Liga Inggeris musim ini yang dikenali Piala Carabao Inggeris.

Sebagai rekod, musim ini kali keempat JDT dinobatkan sebagai juara pertandingan bola sepak elit Malaysia itu yang diraikan dengan kejayaan menewaskan Kelantan 3-0, malam tadi di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin.

Pada perlawanan di Stamford Bridge pula, Chelsea mencatat kemenangan besar 5-1 sekali gus mara ke pusingan keempat. – MalaysiaGazette