Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim (kiri) menunjukkan kenyataan media dari pihak Bomba dan Penyelamat mengenai kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kg. Datuk Keramat pada sidang media khas di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 21 SEPTEMBER 2017

PUTRAJAYA – Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah di Keramat pada Khamis lepas berlaku akibat nyalaan api menggunakan petrol.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim.

Menurutnya, minyak petrol telah dicurahkan pada rak tuala, rak kasut dan dinding di hadapan pintu masuk asrama di aras tiga bangunan pusat tahfiz berkenaan.

Beliau berkata, dua bahan bukti yang ditemui iaitu dua buah silinder gas Liquid Petroleum Gas (LPG) berwarna hijau berbelang merah di hadapan pintu masuk bilik asrama yang injapnya telah dibuka dan kosong menguatkan lagi punca insiden adalah perbuatan sengaja dibakar.

“Kebakaran merebak ke siling dan membakar pintu masuk di aras tiga.

“Api marak dengan cepat disebabkan oleh gas LPG yang dilepaskan daripada silinder sehingga menyebabkan api mereka keseluruhan bilik asrama tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Wan Mohd. Nor, sampel yang merupakan bahan bukti itu telah dianalisa di makmal dan pihak polis dimaklumkan mengenai perkara itu kira-kira pukul 1 tengahari pada hari sama berhubung kesan petrol yang ditemui.

Katanya, polis telah menjalankan siasatan selepas itu ekoran aduan yang dibuat oleh bomba. – MalaysiaGazette