Pengerusi Jawatankuasa GMB, Manmanzar Manyan,66, menunjukkan keadaan lif yang berlubang dan rosak di Taman Segar Perdana Cheras, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 SEPTEMBER 2017

CHERAS – Penghuni Pangsapuri Taman Segar Perdana di sini bersyukur kerana beberapa masalah yang dihadapi sejak sekian lama kini mendapat perhatian kerajaan Persekutuan.

Daripada masalah lif rosak hingga ke masalah prasarana lain, peruntukan segera yang diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjumlah RM2.2 juta kepada pangsapuri itu hari ini sangat bermakna dan dihargai.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan, Manmanzal Nayan berkata, beliau sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana peka dan prihatin terhadap penghuni-penghuni di pangsapuri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa GMB, Manmanzar Manyan,66, bercakap mengenai keadaan lif yang berlubang dan rosak di Taman Segar Perdana Cheras, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 SEPTEMBER 2017

Katanya, penduduk di situ sudah lama menderita ekoran lif di bangunan setinggi lapan tingkat itu yang rosak menyukarkan mereka untuk menjalani kehidupan seharian.

“Bayangkan jika berlakunya kematian bagaimana kami mahu menguruskan jenazah.

“Bukan sahaja itu malah, keadaan itu turut menyukarkan OKU (orang kelainan upaya) yang tinggal di sini untuk naik turun dari bangunan ini,” katanya.

Roslan Abdul Rahman,50, bercakap mengenai keadaan lif yang berlubang dan rosak di Taman Segar Perdana Cheras, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 SEPTEMBER 2017

Seorang lagi penghuni, Roslan Abd Rahman, 50, berkata, masalah yang dihadapi penghuni di situ pernah diadukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan berkenaan dan kerajaan negeri.

Katanya, apa yang dikesalkan aduan mereka ibarat mencurah air di daun keladi.

“Dah banyak kali dah kami adukan kepada mereka, tapi macam itul ah kesudahannya. Tidak ada apa yang berlaku.

“Adalah sekali ADUN datang ziarah. Tapi kedatangannya hanya sekadar melawat sahaja. Tiada apa pun yang dibuat,” ujarnya.

Tambah beliau, penghuni menerusi jawatankuasa penduduk di situ akhirnya mengadukan masalah yang dihadapi kepada KPKT dan apa yang diharapkan mereka ditunai hari ini menerusi peruntukan yang diberikan. – MalaysiaGazette