Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bergambar bersama penerima Anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1439H/2017M kepada Tun Sakaran Dandai (tengah) turut serta Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (tiga kiri) pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Malaysia bukan sahaja telah dijadikan model negara Islam contoh yang maju lagi progresif, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bahkan, tegas Perdana Menteri, negara turut diakui signifikannya sebagai antara pelaku global utama di arena antarabangsa.

Jelas beliau, ia dapat dibuktikan menerusi laporan State of The Global Islamic Economy 2016/2017 oleh Thomson Reuters apabila Malaysa sekali lagi telah menduduki tangga pertama secara keseluruhan daripada senarai 73 buah negara di dunia.

“Malah lebih mutakhir, dalam laporan yang sama, Malaysia bukan sahaja turut diakui sebagai ‘the best developed ecosystem for Islamic Finance in the world.

“Malah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja negara ini dilaporkan mempunyai Islamic Saving Plan yakni Pelan Penyimpanan Islam yang terbesar di dunia.

“Ditambah lagi, dengan pujian oleh Sheikh Rached Gannouchi, Presiden Pergerakan Al-Nahda, seorang ulama tersohor dari Tunisia terhadap Malaysia bahawa tidak ada negara lain lebih baik dari Malaysia, yang boleh menjadi model kejayaan ekonomi umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1439H/2017M di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Tema Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1439H/2017M adalah Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara.

Dalam pada itu, Najib adalah Malaysia adalah negara contoh gambaran Islam yang sebenar.

Tambahnya, apa yang lebih menarik, melalui hubungan diplomasi dan dasar berbaik-baik Malaysia dengan beberapa negara utama di dunia seperti China, Amerika Syarikat dan India serta Arab Saudi, ia kini ternyata membuahkan hasil dan manfaat kepada rakyat.

Pada masa sama, Najib turut mengingatkan umat Islam tidak boleh sesekali lalai daripada terus mempertinggikan Islam dan memperjuang serta mempertahankan syiar kesuciannya sampai bila-bila.

“Maksudnya, Islam mengajarkan kita bahawa, untuk maju dan jaya, kita haruslah berusaha dengan gigih, tidak boleh berputus asa, tidak boleh berhenti berkorban atau lari dari medan juang dan yang paling mustahak, hendaklah menyusun strategi serta perancangan yang teliti dengan cara muafakat dan berpadu.

“Dalam konteks Malaysia, mengambil ibrah daripada semua itu, Awal Muharram kali ini ternyata lebih istimewa disebabkan, kita baru sahaja selesai menyambut Hari Kebangsaan yang ke-60 serta Hari Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette