Thursday, April 25, 2024
Home Sukan Sukan Para Asean: Ridzuan tebus emas acara 200 meter

Sukan Para Asean: Ridzuan tebus emas acara 200 meter

Reaksi atlet Para ASEAN negara, Mohamad Ridzuan Mohd Puzi (kanan) selepas memenangi emas dalam larian 200 meter T36 lelaki akhir pada Sukan Para Asean KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Raja pecut negara para acara 100 meter, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi muncul semula di trek dengan membuktikan kehebatannya apabila mudah memenangi saingan akhir 200 meter T36 (cerebral palsy) di Sukan Para ASEAN Ke-9, hari ini.

Sebelum ini, Mohamad Ridzuan atau Dek Wan yang merupakan pemenang emas Paralimpik Rio disahkan tidak akan menyertai mana-mana acara kerana disyaki mengalami demam denggi, sejak Khamis lalu.

Pengurus pasukan olahraga Narrawi Abdullah terpaksa mengambil keputusan itu selepas mendapatkan nasihat doktor Hospital Putrajaya dan Institut Sukan Negara (ISN).

Dia tidak diturunkan dalam acara 100m lelaki T36 pada Rabu lalu dan dalam acara 400m, sehari kemudian.
Atlet para ASEAN negara, Mohamad Ridzuan Mohd Puzi memenangi pingat emas dalam larian 200 meter T36 lelaki akhir pada Sukan Para Asean KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 SEPTEMBER 2017

Sementara itu, Mohamad Ridzuan memenangi saingan akhir tersebut dengan catatan 26.03 saat.

Pingat perak milik atlet dari Indonesia, Muhamad Agung Laksana dengan catatan 26.20s manakala gangsa dimenangi Mohd. Rezza Md. Rashid dari Malaysia dengan catatan 29.69s. – MalaysiaGazette