KUALA LUMPUR – Pendatang baharu, Wany Hasrita memilih konsep irama tradisional sebagai single akan datang bagi menyahut cabaran buat dirinya.

Jelas Wany, 25, dia sebenarnya meminati lagu-lagu irama tradisional biarpun lebih dahulu terkenal dengan lagu bergenre balada.

“Saya tahu survival lagu-lagu irama tradisional memang agak sukar tapi saya percaya lagu bergenre begitu masih ada tempat dalam industri muzik kita.

“Bila saya dapat tahu lagu ciptaan komposer terkenal, Pak Ngah Suhaimi itu, saya terus bersetuju,” kata penyanyi yang mula popular dengan lagu Menahan Rindu itu.

Pemegang Sarjana Muda Sains Perubatan dari Management & Science University (MSU) ketika ini sedang memperomosikan single keduanya bertajuk Rintihan Rindu.

Mahu bersikap jujur dan terus-terang, Wany atau nama lengkapnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah mengakui cita-citanya ingin menjadi pensyarah pada masa akan datang.

Menganggap bidang seni sudah terlanjur terjebak dan perlu diteruskan, dia tetap menyimpan impian bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana.

“Buat masa ini saya mahu fokus kepada kerjaya terlebih dahulu. Tambahan pula, jadual kerja telah disusun oleh pihak pengurusan untuk beberapa bulan ke hadapan.

“Saya tetap mahu menjadi pensyarah dan tambahan pula tidak mempraktikkan ilmu perubatan sebagai doktor kerana saya lepasan sains perubatan dan perlu menambah tempoh pengajian yang panjang untuk bergelar doktor,” katanya tersenyum manis.

Mengulas mengenai kerjaya seninya, Wany berjanji tidak akan meninggalkan bidang nyanyian biarpun cita-citanya sudah tercapai kelak.

Ditanya calon teman hidup memandangkan usianya sudah 25 tahun dan waktu yang sesuai untuk bergelar isteri, Wany mengakui dia masih solo lagi.

Katanya jika diberi pilihan, dia mahu mencari calon suami bukan dari kalangan bidang seni.

“Ibu penah nasihat, lepas sudah melibatkan diri dalam dunia seni, kalau hendak cari suami, pilihlah orang luar.

“Tapi jodoh di tangan Tuhan. Kalau ditakdirkan dengan orang seni, Wany kenalah terima,” katanya tersenyum. – MalaysiaGazette