KUALA LUMPUR – MIC hari ini telah meminda perlembagaannya untuk mempastikan hak suara dan kuasa lebih kepada cawangan dan akar umbi memilih pemimpin selain usaha mendemokrasikan parti itu.

Presiden MIC,  Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pindaan itu membolehkan pemegang jawatan tertinggi peringkat cawangan mempunyai kuasa memilih presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan seramai 23 Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam pemilihan parti.

Kata beliau, proses yang sama akan memastikan cawangan MIC lebih efektif sekaligus mengaktifkan semula cawangan-cawangan yang lemah dan kurang beroperasi sebelum ini.

“Ia akan membantu kita membangkitkan semula kekuatan parti kepada keadaan asal.

“Kita akan melakukan beberapa pembetulan pada pemindaan itu dan akan mengemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk kelulusan.

“Selepas kelulusan RoS, kita akan melaksanakan perlembagaan yang dipinda itu pada pemilihan parti tahun depan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti,” katanya selepas menghadiri mesyuarat berkenaan cadangan pemindaan pada Perlembagaan parti di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini petang tadi.

Seramai 4,000 ketua cawangan termasuk 1,500 perwakilan hadir pada mesyuarat hari pertama Perhimpunan Agug MIC ke-71 hari ini.

Tambah Subramaniam, asasnya, pindaan itu disambut baik semua ahli parti yang hadir ke mesyuarat parti dan ia diadakan secara tertutup hari ini.

“Kita harap apabila mengimplementasikan nanti mana-mana pemimpin yang hendak bertanding untuk jawatan peringkat tertinggi parti mereka perlu turun ke peringkat cawangan dan mendapatkan sokongan ahli biasa selepas ini,” ujarnya lagi.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci jumlah artikel dalam pindaan perlembagaan kali ini.

Antara artikel pada perlembagaan itu yang dipinda ialah Artikel 58.2 yang membolehkan 10 orang pemegang jawatan tertinggi peringkat cawangan termasuk pemuda, wanita, putera dan puteri berbanding ketua cawangan sahaja sebelum ini.

Malah artikel 58.8 juga dipinda yang mana setiap pemimpin yang hendak bertanding untuk jawatan Presiden MIC, perlu mendapatkan pencalonan daripada 250 ketua cawangan berbanding 50 pencalonan yang diperlukan.

Dalam pada itu, pindaan perlembagaan berkenaan disambut baik oleh para perwakilan antaranya Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari.

Beliau menyifatkan pindaan itu sebagai usaha membawa parti ke arah hala tuju lebih baik dalam persekitaran dan revolusi politik yang sedang dihadapi pada hari ini.

“Selama ini ketua-ketua Bahagian dan cawangan MIC sahaja yang boleh mengundi menentukan kepimpinan tertinggi parti.

“Kini pemindaan pada Perlembagaan membuka peluang kepada akar umbi khususnya pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC di peringkat Cawangan memilih Presiden dan jawatan tertinggi parti semasa pemilihan nanti.

‘Ini juga satu usaha parti memperkasa kuasa generasi muda dalam parti selepas ini,” ujar beliau kepada MalaysiaGazette malam tadi.

Selain itu, Ketua Pemuda MIC Bahagian Taiping, M. Veeran turut gembira pemindaan perlembagaan parti yang memberi kuasa dan mengiktiraf ahli akar umbi peringkat cawangan untuk menentukan kepimpinan parti.

“Kita gembira diberi peluang untuk memilih presiden dan pemimpin tertinggi lain parti selepas ini, terima kasih kepada Datuk Seri Dr. S. Subramaniam,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Cawangan Wardieburn Jaya, Bahagian Setiawangsa, Datuk S. Rajah pula menyifatkan tindakan parti memberi kuasa kepada ahli dan ketua-ketua cawangan, Bahagian dan negeri untuk memilih kepimpinan tertinggi parti.

“Ini menunjukkan parti sedang melalui proses kematangan keterbukaan demokrasi politik parti,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette