MANCHESTER – Tiga penyerang yang sedang berada pada tahap terbaik bakal diturunkan dalam kesebelasan utama apabila pasukan Manchester United menentang pasukan Southampton di tempat lawan malam ini.

Romelu Lukaku, Marcus Rashford dan Anthony Martial kini semakin digeruni pertahanan lawan apabila mereka silih berganti menjaringkan dalam setiap perlawanan sejak musim baharu bermula.

Namun sejak kebelakangan ini, Jose Mourinho dikatakan lebih tertarik dengan Martial yang memiliki larian pantas dengan skil individu yang menarik.

Pengurus kelahiran Portugal berkenaan dijangka merombak kesebelasan utama dengan memberi peluang kepada gandingan tiga penyerang berkenaan.

“Semua pemain kini bersaing secara sihat dan saya akan memberi untuk mereka. Setiap daripada mereka mampu menjaringkan lebih gol daripada apa yang dijangkakan.

“Martial, Rashford, Juan Mata dan Jesse Lingard bermain dengan bagus dalam perlawanan pada Rabu lalu.

“Tiada siapa layak untuk berada di bangku simpanan. Namun bagaimana pula Henrikh Mkhitaryan dan Lukaku yang tidak bermain pada perlawanan tersebut?

“Jadi siapa yang akan berada di bangku simpanan kerana saya tidak boleh menurunkan enam pemain di bahagian serangan,” jelas Mourinho. – MalaysiaGazette