Hamidah Osman

KUALA LUMPUR – “Apa sebenarnya yang kalian mahu?” soal bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman.

Beliau bertanyakan soalan itu kepada kepimpinan PPBM yang menyamakan tindakannya meninggalkan parti itu sebagai sampah.

“Bila ku diam dituduh pelbagai… bila bersuara dituduh mencari simpati dan helah. Apa sebenar yang kalian mahu?” kupas beliau menerusi akaun Facebooknya, kelmarin.

Semalam, Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata pada satu majlis di Bukit Merah Lake Town, Perak behawa ahli yang menentang dan enggan patuhi arahan dianggap sebagai sampah.

“Kita (PPBM) sampah-sampah yang tak elok kita sapu lah keluar. Jika ada sampah yang keluar sendiri itu bagiuh (bagus),” kata Dr. Mahathir.

Menurut Hamidah, ketika beliau memegang jawatan tinggi dalam parti itu, ada pihak tertentu memintanya berhenti tanpa memberi sebarang alasan.

Bagaimanapun, katanya, apabila bertindak keluar parti, beliau dituduh sebagai pengkhianat dan sampah.

Sementara itu, adiknya, Hamizura Osman yang juga bekas ahli jawatankuasa parti itu berkata, beliau dan kakaknya menerima gelaran sampah dengan hati terbuka.

“Saya antara yang keluar parti PPBM. Mungkin salah seorang yang Tun M anggap sampah tu adalah saya.

“Saya terima gelaran sampah itu dengan hati yang terbuka. Kerana apa saja yang Tun M cakap biasanya betul dan semua orang kena terima kerana Tun M dah memerintah selama 22 tahun,” katanya.

Menurutnya, segala pengalaman dan kenangan selama tiga tahun bersama PPBM akan dikenang selama-lamanya.

“Banyak suka duka yang saya lalui sepanjang berjuang bersama Tun M sehinggalah akhirnya saya digelar sampah kerana meninggalkan parti.

“Saya doakan semoga PPBM terus maju jaya dan menjadi sebuah parti yang memperjuangkan nasib bangsa Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.