Pelakon Filem Adiwira Ku naik ke pentas selepas muncul pemenang bagi kategori Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-29 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI. 23 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi menobatkan filem Adiwiraku sebagai Filem Terbaik.

Filem terbitan Sol Pictures Sdn. Bhd. itu turut membawa pulang dua anugerah utama lain iaitu Pelakon Wanita menerusi Sangeetha Krishnasamy dan Cerita Asal Terbaik (Jason Chong).

Filem arahan Eric Ong itu bersaing dengan empat filem hebat iaitu Redha, Interchange, Hanyut dan Desolasi.

Adiwira Ku berkisarkan semangat tinggi seorang guru Bahasa Inggeris yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Pinang Tunggal, Pulau Pinang.

Sementara itu, trofi Pengarah Terbaik menjadi milik Dain Said untuk filem Interchange.

Dalam pada itu, lakonan hebat Namron dalam filem Redha melayakkannya diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik.

Shaheizy Sam yang menunjukkan lakonan cemerlang dalam Interchange pula dipilih juri sebagai penerima trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, manakala Diana Danielle daripada filem Hanyut diumum sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Trofi Pelakon Lelaki dan Wanita Harapan pula masing-masing menjadi milik John Tan (You Mean The World To Me) dan June Lojong (Redha).

Lakonan pelakon cilik, Harith Haziq, yang meninggalkan kesan dalam filem berkisar pada dunia kanak-kanak autistik, Redha melayakkannya diangkat sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik manakala sutradaranya, Tunku Mona Riza dipilih sebagai Pengarah Harapan.

FFM29 turut mengiktiraf tiga filem, iaitu Desolasi, Shuttle Life dan Pekak untuk Anugerah Khas Juri.

Penghormatan turut diberikan kepada pengarah dan produser tersohor, Datuk Yusof Haslam, yang menerima Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman.

Mengangkat tema Transformasi Citra Karya, FFM29 menyaksikan 53 filem bertanding merebut 24 anugerah pada malam kemuncak yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria dan Astro Ria HD.

Ia menyaksikan artis serba boleh, Zizan Razak, bertindak sebagai hos utama, bergandingan dengan Siti Elizad, Elizabeth Tan dan Thanuja.
Senarai Pemenang FFM29:

1) Filem Terbaik: Adiwira Ku

2) Pengarah Terbaik: Dain Said (Interchange)

3) Pelakon Lelaki Terbaik: Namron (Redha)

4) Pelakon Wanita Terbaik: Sangeeta Krishnasamy (Adiwiraku)

5) Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Shaheizy Sam (Interchange)

6) Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Diana Danielle (Hanyut)

7) Pengarah Harapan: Tunku Mona Riza (Redha)

8) Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Harith Haziq (Redha)

9) Pelakon Wanita Harapan: June Lojong (Redha)

10) Pelakon Lelaki Harapan: John Tan (You Mean The World To Me)

11) Lakon Layar Terbaik: Saw Teong Hin (You Mean The World To Me)

12) Sinematografi Terbaik: Jordan Chiam (Interchange)

13) Cerita Asal Terbaik: Jason Chong (Adiwira Ku)

14) Kostum & Busana Terbaik: Akma Suriati Awang (Hanyut)

15) Anugerah Khas Juri (Kesan Khas Visual): Desolasi (Skop Productions Sdn Bhd)

16) Anugerah Khas Juri (Kesedaran Sosial): Shuttle Life (MM2 Film Distribution Sdn Bhd)

17) Anugerah Khas Juri (Kupasan Isu Najis Dadah): Pekak (Grand Brilliance Sdn Bhd dan Lightbulb Pictures)

18) Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman: Datuk Yusof Haslam

19) Anugerah Penggiat Belakang Tabir: Johan Ibrahim

20) Filem Box Office: Abang Long Fadil 2 (Skop Production Sdn Bhd & Astro Shaw)

21) Penataan Bunyi Terbaik: Daniel (Hanyut)

22) Penataan Seni Terbaik: Zaharah Nakibullah (Interchange)

23) Suntingan Terbaik: Nazim Shah (J Revolusi)

24) Skor Muzik Terbaik: David Koon (You Mean The World To Me) – MalaysiaGazette