Salah seorang suspek di bawa oleh anggota polis ke tempat kejadian untuk melakukan lakonan semula ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Suspek kes bakar Pusat Darul Quran Ittifaqiyah hari ini dibawa ke lokasi kejadian bagi melakonkan semula pelakuan jenayah itu yang mengorbankan 23 orang itu.

Kira-kira pukul 2.45 petang tadi sekumpulan anggota penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (Niosh) mula memasuki kawasan kejadian.

Sebuah kereta Pajero yang disyaki membawa suspek kebakaran pusat tahfiz ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 SEPTEMBER 2017

Mereka dilihat mengiringi suspek yang berpakaian baju kotak berwarna merah, seluar jeans dan bertopi biru untuk meninjau ke dalam premis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di mana suspek melakukan jenayah itu.

Pada pukul 3.05 petang suspek kelihatan dibawa mengelilingi Taman Tasik Datuk Keramat berdekatan pusat tahfiz itu hampir 15 minit sebelum dibawa ke lokasi lain.

Lebih 20 anggota polis ditugaskan memastikan kawasan kejadian tidak dimasuki orang awam sehingga proses siasatan selesai dijalankan.

Lakonan semula dipercayai tertumpu di kawasan belakang asrama pusat tahfiz berkenaan yang diceroboh masuk melalui premis PPIM.

Antara lokasi utama yang ditutup daripada akses orang ramai ialah Pusat Darul Quran Ittifaqiyah, Madrasah Ittifaqiyah, Taman Tasik Datuk Keramat dan premis PPIM.

Siasatan ke lokasi kejadian berakhir jam 4.40 petang tadi apabila suspek dibawa keluar menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Kia Sorento berwarna perak dan Mitsubishi Pajero berwarna krim. – MalaysiaGazette