Empat buruh binaan termasuk seorang rakyat Filipina dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan menyembunyikan maklumat berkaitan kumpulan pengganas berkenaan.

KAJANG – Empat buruh binaan termasuk seorang rakyat Filipina dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan menyembunyikan maklumat berkaitan kumpulan pengganas berkenaan.

Keempat-empat lelaki itu dipercayai antara 19 suspek yang ditahan sebelum ini dalam cubaan melakukan serangan ketika upacara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Tiada pengakuan direkodkan daripada Hajar Abdul Mubin, 25; Ahmad Omar, 52; Jaffar Ahmad, 26; kesemuanya warga tempatan dan Abdul Syamir Dabilin, 25, warganegara Filipina selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Surita Budin kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Hajar yang merupakan perancang utama serangan itu didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf mengikut seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di ZA 2-14 Lorong Pangsa Baiduri 2, Taman Desa Baiduri, Cheras antara 2010 dan 30 Ogos 2017.

Tiga lagi iaitu Ahmad, Jaffar dan Abdul Syamir, didakwa dengan sengaja menyembunyikan maklumat berhubung kumpulan itu yang mana mereka terikat di sisi undang-undang untuk memberi maklumat tersebut mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di MAG-03- Persiaran Pangsa Baiduri, Taman Desa Baiduri, Cheras, antara 2008 hingga 30 Ogos 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 16 Okt untuk sebutan semula sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Media sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia mematahkan rancangan kumpulan pengganas di negara ini, dipercayai penyokong Daesh, khususnya cubaan melakukan serangan ketika upacara penutup KL2017 dan Perbarisan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata berkata rancangan ganas itu dapat dibendung menerusi penangkapan 19 lelaki terdiri daripada lapan warga tempatan dan 11 warga asing dalam operasi antara 4 Julai dan 30 Ogos lepas menerusi enam tangkapan.

— BERNAMA