UTC
Konsep perkhidmatan UTC yang memberi perkhidmatan di luar waktu pejabat wajar diperluaskan dalam sektor awam. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lebih 20,000 jawatan kosong melalui lebih 300 majikan ditawarkan untuk pencari kerja di 11 Pusat Transformasi Bandar (UTC) pada Sabtu ini sempena penganjuran Job Fair @ UTC 3.0 Tahun 2017.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan hari ini berkata, UTC terlibat ialah Johor, Melaka, Kuala Lumpur, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Labuan, Sarawak (Sibu) dan Sabah.

Program Job Fair itu turut diadakan di lokasi lain iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang; Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor; Pusat Pameran dan Konvensyen Senawang, Negeri Sembilan; dan Dewan Kraftangan Kuala Perlis, Perlis, kata kementerian itu.

“Para pengunjung juga berpeluang menghadiri prapendaftaran, klinik kerjaya, ceramah kerjaya dan pameran agensi pada program yang berlangsung dari 10 pagi hingga 8 malam itu,” kata kementerian itu.

Para pencari kerja serta penduduk di kawasan, daerah sekitar dan negeri-negeri berhampiran dengan lokasi tersebut dijemput hadir, kata kementerian itu. – MalaysiaGazette