Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar Pas Pulau Pinang, Saiful Lizan Mohd. Yusoff (tengah) ketika hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Ahmad Shah, Georgetown bagi membuat laporan berhubung isu banjir banjir kilat.

PULAU PINANG – Selepas membuat laporan polis Sabtu lalu, Pas Pulau Pinang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung bencana banjir kilat di negeri ini.

Laporan itu dibuat bagi mendesak Kokus Perlindungan Alam Sekitar dan Anti Rasuah (EPACC) di bawah SPRM menyiasat kaitan Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam bencana tersebut yang semakin buruk sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar Pas negeri, Saiful Lizan Mohd. Yusoff berkata, SPRM perlu menyiasat sama ada bencana banjir itu ada kaitan dengan kelulusan yang diberi kerajaan negeri bagi projek di kawasan berisiko seperti di lereng bukit.

“SPRM menerusi EPACC mempunyai kuasa yang jelas bagi menyiasat kemungkinan wujud unsur salah guna kuasa atau rasuah dalam kelulusan projek-projek yang menjejaskan alam sekitar.

“Dari apa yang kita perhatikan dan menjadi rungutan penduduk di negeri ini, bencana banjir kilat yang semakin buruk di negeri ini turut disumbang oleh aktiviti penggondolan bukit bagi projek pembangunan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas membuat laporan itu di ibu pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Yang Dipertua Pas Bahagian Tanjung merangkap Pengerusi Lajnah Tanah Pas negeri, Yaacob Omar.

Menurut Saiful Lizan, pihaknya turut menyerahkan laporan status kejadian banjir kilat di negeri ini serta aduan penduduk terlibat bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan.

Pada Sabtu lalu, Pas Pulau Pinang turut membuat laporan polis berhubung isu sama selepas mendakwa mewakili suara penduduk negeri ini yang tertekan selepas kerap menjadi mangsa banjir kilat.

Pada 15 September lalu, lebih 100 kawasan di negeri ini dilanda banjir kilat yang disifatkan terburuk dalam tempoh 10 tahun dengan ribuan penduduk menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda.

Bencana itu turut menyaksikan beberapa kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang yang menghempap kenderaan berpunca daripada aliran air lumpur deras yang dibawa dari tapak projek. – MalaysiaGazette