Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan pada sesi Perdana Menteri bersama warga TM di Pusat Konvensyen TM, Bangsar. foto FAREEZ FADZIL, 25 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan melaburkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Amerika Syarikat (AS) mampu menjana pulangan lumayan menerusi dividen sebanyak 11.1 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, berbanding jika hanya dilaburkan di dalam negara dividen yang diperoleh hanya sekitar tujuh peratus sahaja.

Menurutnya, ia merupakan strategi global yang telah dimulakan sejak tahun 2008 lagi.

“Keputusan ini bukan daripada saya atau dari orang politik. Keputusan ini dibuat oleh investment comittee (jawatankuasa pelaburan). Oleh profesional, saya tidak mengarahkan mereka,” katanya ketika menyampaikan dialog kepada warga TM pada sesi Jom Bersama PM di TM di sini petang tadi.

Bagi tujuan itu beliau hanya meminta supaya pelaburan dibuat dipilih mengikut kriteria.

Najib berkata, kriteria itu mestilah sesuatu yang boleh memberi pulangan terbaik disamping menjaga risiko.

“Bila kita dah melabur untung kita bawa balik. Ini kita punya global strategi. Jangan kita dengar kata puak-puak (pembangkang)  tu. Mereka cuba kelirukan orang ramai. Nak buat orang marah,” ujarnya.

Pada program itu, Najib turut mengumumkan beberapa pertimbangan tambahan kepada kakitangan TM yang antaranya pengenalan waktu kerja anjal kepada ibu mengandung dimana mereka boleh balik awal sejam lebih awal.

Perkara lain yang turut diumumkan ialah cuti ihsan kelahiran cucu selama tujuh hari, cuti ihsan menjaga ibu bapa serta cuti menjaga anak yang mendapatkan rawatan bagi mereka yang telah berkeluarga.

Turut diumumkan pertambahan bayaran perubatan pergigian sebanyak RM500 hingga RM750 bagi eksekutif manakala bagi kakitangan bukan eksekutif sebanyak RM250 hingga RM500.

Najib mengumumkan peruntukan biasaiswa yang dibuka kepada semua kakitangan TM tanpa dihadkan.

“Bagi pelajar-pelajar yang menuntut di MMU (Universiti Multi Media) anak-anak warga Telekom Malaysia kemasukan pelajar baru diberikan diskaun sebanyak 35 peratus.

“Mereka yang dapat keputusan kelas pertama yuran adalah percuma,” katanya lagi.

Kehadiran Najib pada program itu disambut kira-kira 3,000 warga TM dan sesi dialog berkenaan diikuti secara langsung oleh kira-kira 20,000 warga kerja TM di seluruh negara. – MalaysiaGazette